Rundingan gencatan senjata Gaza capai detik kritikal, Qatar main peranan utama
DOHA – Rundingan bagi memantapkan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) dalam konflik Gaza kini berada pada tahap kritikal dengan Qatar memainkan peranan penting sebagai perantara untuk mempercepatkan pelaksanaan fasa seterusnya.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani berkata pada sesi panel Forum Doha, walaupun keganasan menurun sejak gencatan bermula 10 Oktober, serangan masih dilaporkan berlaku termasuk tujuh kematian semalam, lapor beberapa agensi berita antarabangsa.
“Kita berada pada saat kritikal. Usaha ini belum mencapai tahap dimahukan. Apa yang berlaku setakat ini hanyalah satu hentian sementara,” kata Sheikh Mohammed memetik laporan AFP.
Beliau menekankan bahawa gencatan itu belum lengkap selagi pengunduran penuh pasukan Israel tidak berlaku, kestabilan di Gaza belum dipulihkan dan pergerakan keluar masuk rakyat masih terganggu.
Rundingan kini tertumpu kepada peringkat berikutnya daripada pelan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menamatkan perang dua tahun di wilayah Palestin.

Delegasi Israel sebelum ini mengadakan rundingan di Kaherah berhubung pemulangan tebusan terakhir yang masih ditahan di Gaza, menandakan fasa awal pelan Trump hampir lengkap.
Sejak gencatan berkuat kuasa, Hamas memulangkan 20 tebusan yang masih hidup dan 27 mayat sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin.
Israel pula memaklumkan laluan Rafah akan dibuka tidak lama lagi bagi tujuan keluar ke Mesir manakala kemasukan dari Rafah ke Gaza dibenarkan selepas mayat tebusan terakhir dipulangkan.
Pelan Trump turut mencadangkan pembentukan kerajaan sementara teknokrat Palestin di Gaza, dipantau oleh lembaga keamanan antarabangsa dan disokong pasukan keselamatan antarabangsa.
Bagaimanapun, persetujuan mengenai komposisi dan mandat pasukan itu masih menjadi cabaran utama.
Walaupun pertempuran berkurangan, serangan Israel ke atas Gaza tetap dilaporkan termasuk pemusnahan infrastruktur yang didakwa milik Hamas, sementara kedua-dua pihak saling menuding jari atas pelanggaran gencatan.
Pihak kesihatan Gaza melaporkan tujuh kematian akibat tembakan Israel semalam di Beit Lahiya, Jabalia dan Zeitoun, termasuk seorang wanita berusia 70 tahun yang maut akibat serangan dron.
Tentera Israel pula menyatakan tiga anggota pejuang Palestin terbunuh dalam dua insiden berasingan apabila melintasi garisan yang ditetapkan di utara Gaza namun menegaskan tiada pengetahuan mengenai sebarang serangan dron.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








