Remaja 17 tahun ditahan kerana rancang serang masjid
SINGAPURA – Pihak berkuasa menahan seorang remaja 17 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang melakukan serangan tembakan besar-besaran di lima buah masjid di sekitar negara ini.
Laporan The Straits Times hari ini, yang memetik kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berkata, remaja itu merancang membunuh sekurang-kurangnya 100 orang Islam dalam satu serangan pengganas yang diinspirasikan oleh pembunuhan beramai-ramai Christchurch pada tahun 2019.
Kenyataan itu berkata, suspek telah mengenal pasti masjid di Jurong West, Clementi, Margaret Drive, Admiralty Road, dan Beach Road sebagai sasaran, dan merancang melakukannya ketika solat Jumaat sebelum membunuh dirinya sendiri.
Radikalisasinya bermula pada tahun 2022 melalui pendedahan kepada kandungan Islamofobia dan pelampau sayap kanan di internet.
Pihak berkuasa berjaya menggagalkan rancangannya sebelum dia dapat bertindak, dengan mengeluarkan perintah tahanan pada Mac 2025.
Siasatan mengaitkannya dengan Nick Lee, seorang pemuda berusia 18 tahun yang ditahan di bawah ISA pada Disember 2024 kerana kepercayaan ekstremis yang serupa, walaupun kedua-duanya tidak pernah bertemu atau merancang serangan bersama.
Remaja itu telah cuba beberapa kali mendapatkan senjata api, termasuk melalui penyeludupan, mengubah suai replika, dan mencetak bahagian senjata menggunakan pencetak 3D.
Dia juga merancang untuk mengunjungi sebuah lapang sasar di Amerika Syarikat bagi menjalani latihan menembak.
Walaupun gagal memperoleh senjata, dia tetap bertekad untuk melaksanakan serangan tersebut.
Kata ISD, ibu bapa remaja itu menyedari pandangan dan aktiviti dalam taliannya tetapi tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.
“Kes ini mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap radikalisasi belia di Singapura, dengan ekstremisme sayap kanan semakin mendapat perhatian dalam kalangan anak muda,” kata kenyataan itu.
Sejak tahun 2015, seramai 17 individu berusia 20 tahun ke bawah telah dikenakan tindakan di bawah ISA, dengan sembilan daripadanya merancang untuk melancarkan serangan di dalam negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







