LUAR NEGARASUKAN

PSG rampas tiket final, hancurkan impian Arsenal

Skuad Arteta kecundang 2-1, tersingkir dengan agregat 3-2

PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) mempamerkan aksi berdisiplin untuk menamatkan kemaraan Arsenal ke final Liga Juara-Juara (UCL) selepas menang 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Parc des Princes, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan PSG mara ke pentas final dengan agregat 3-2, sekali gus menghancurkan harapan Arsenal untuk menamatkan penantian sejak kali terakhir mara ke final pada 2006.

Arsenal yang tampil bertenaga sejak wisel permulaan nyaris membuka jaringan menerusi tandukan Declan Rice, namun diselamatkan Gianluigi Donnarumma. Dua percubaan seterusnya daripada Gabriel Martinelli dan Martin Odegaard turut dinafikan penjaga gol PSG itu.

Bagaimanapun, tuan rumah berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-33 selepas sepakan Fabian Ruiz dari luar kotak penalti terkena William Saliba lalu mengelirukan David Raya.

Babak kedua menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta meningkatkan tekanan, namun situasi berubah selepas pengadil dari Jerman, Felix Zwayer memberikan sepakan penalti kepada PSG selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan pemain muda Arsenal, Myles Lewis-Skelly.

Keputusan itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan penyokong Arsenal, namun David Raya bertindak cemerlang menafikan sepakan penalti Vitinha.

Bagaimanapun, usaha Arsenal untuk bangkit terganggu apabila Achraf Hakimi meledak gol kedua PSG pada minit ke-72 hasil rembatan lencong yang gagal diselamatkan Raya.

Bukayo Saka kembali menghidupkan peluang The Gunners empat minit kemudian, namun pemain itu gagal menyamakan kedudukan agregat apabila melepaskan rembatan tinggi walaupun pintu gol PSG terbuka luas.

Arsenal terus melancarkan serangan, namun kekurangan penyudah klinikal serta ketiadaan penyerang utama yang cergas jelas menjadi kekangan buat mereka.

Kekalahan itu menyaksikan Arsenal terus gagal menjulang sebarang trofi utama untuk musim kelima berturut-turut, manakala PSG mara ke final dengan penuh bergaya.

Sementara itu, Arteta dalam reaksi selepas perlawanan berkata, kekalahan tersebut sukar diterima memandangkan pasukannya bermain dengan baik dan menguasai sebahagian besar perlawanan.

“Kami kecewa. Pemain berikan segalanya tetapi keputusan tidak berpihak kepada kami. Ada beberapa keputusan yang mengecewakan, termasuk penalti. Namun kami terima kekalahan ini dengan hati terbuka,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button