
Polis Brazil gagalkan serangan bom di konsert Lady Gaga, dua suspek ditahan
RIO DE JANEIRO – Polis Brazil menahan dua individu yang disyaki merancang serangan bom semasa konsert percuma Lady Gaga di Pantai Copacabana, di sini, kelmarin, yang dihadiri lebih dua juta orang.
Dalam satu kenyataan di media sosial semalam, Polis Sivil Rio de Janeiro memaklumkan mereka berjaya menggagalkan cubaan serangan bom yang dirancang oleh dua suspek iaitu seorang dewasa dan seorang remaja sempena konsert mega yang berlangsung pada hari Sabtu.
Operasi itu diberi nama kod Fake Monster, merujuk kepada gelaran Little Monsters yang digunakan Lady Gaga bagi para peminatnya, lapor agensi berita Al Jazeera.
Menurut polis, suspek dipercayai merekrut individu secara dalam talian untuk melaksanakan serangan menggunakan bahan letupan buatan sendiri dengan tujuan meraih perhatian di media sosial.
Setiausaha Polis Rio, Felipe Cury berkata, pihak berkuasa percaya kumpulan ini menyasarkan komuniti LGBTQ di Brazil, berdasarkan bukti jelas bahawa serangan dirancang atas motif kebencian terhadap orientasi seksual.
Ketua Polis Rio, Luiz Lima menjelaskan kumpulan tersebut turut menyebarkan ucapan kebencian serta kandungan ganas di internet bagi menarik lebih ramai pengikut dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
Walaupun tangkapan dilakukan beberapa jam sebelum konsert bermula, acara itu tetap berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Menurut Dewan Bandaraya Rio, lebih 2.1 juta orang membanjiri Pantai Copacabana untuk menyaksikan persembahan artis pop terkenal itu.
Sementara itu, wakil Lady Gaga dalam satu kenyataan berkata, penyanyi itu dan pasukannya tidak dimaklumkan mengenai sebarang ancaman keselamatan sebelum atau semasa persembahan berlangsung.
Sebaliknya, mereka hanya mengetahui hal tersebut pada keesokan harinya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |