LUAR NEGARA

Pentagon singkir anggota tentera transgender 

WASHINGTON – Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) mengumumkan dasar baharu yang menetapkan anggota tentera transgender akan dikeluarkan daripada perkhidmatan kecuali diberikan pengecualian khas.

Memetik laporan NBC News, memo yang difailkan ke mahkamah pada Rabu menyatakan bahawa Pentagon diarahkan mengenal pasti dalam tempoh 30 hari mana-mana anggota yang mengalami atau mempunyai sejarah gender dysphoria, iaitu keadaan tekanan emosi akibat ketidaksepadanan antara identiti jantina dan jantina lahir.

Mereka yang dikenal pasti akan disingkirkan daripada perkhidmatan dan diberikan pelepasan secara terhormat, kecuali jika rekod perkhidmatan mereka menunjukkan sebaliknya.

Dasar baharu itu lebih ketat berbanding larangan yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump pada penggal pertamanya, yang masih membenarkan beberapa anggota transgender untuk terus berkhidmat.

Dalam peraturan terdahulu, anggota yang telah mendedahkan identiti mereka sebelum larangan berkuat kuasa boleh terus berkhidmat dan menerima rawatan berkaitan peralihan jantina.

Bagaimanapun, di bawah dasar baharu itu, mereka yang dikenal pasti oleh Pentagon akan ditamatkan daripada perkhidmatan serta-merta.

Pengecualian hanya boleh diberikan sekiranya terdapat “kepentingan kerajaan yang mendesak” yang menyokong anggota dikekalkan.

Mereka juga mesti menunjukkan kestabilan dalam jantina lahir selama 36 bulan tanpa tekanan klinikal, tidak pernah menjalani rawatan peralihan jantina, serta bersedia mematuhi peraturan ketenteraan mengikut jantina lahir.

Memo tersebut turut menetapkan bahawa Pentagon hanya mengiktiraf dua jantina sahaja dan anggota tentera diwajibkan menggunakan kemudahan berasaskan jantina lahir mereka, termasuk tempat tidur, bilik persalinan dan tandas.

Mereka juga perlu menggunakan kata ganti nama dan panggilan hormat seperti “sir” dan “ma’am” yang bersesuaian dengan jantina lahir.

Selain itu, Pentagon turut melarang penggunaan dana kerajaan untuk rawatan berkaitan peralihan jantina, termasuk terapi hormon dan pembedahan.

Bagaimanapun, mereka yang sedang menerima terapi hormon akan dibenarkan meneruskan rawatan sehingga dikeluarkan daripada perkhidmatan.

Langkah itu menerima kritikan daripada kumpulan hak asasi LGBTQ. Pusat Kebangsaan Hak Lesbian (NCLR) dan GLBTQ Legal Advocates & Defenders (GLAD) memfailkan saman terhadap perintah eksekutif Trump, mendakwa ia melanggar Klausa Perlindungan Sama Rata dalam Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS.

Salah seorang plaintif, Sarjan Kate Cole, seorang anggota tentera dan wanita transgender, menyifatkan dasar itu sebagai satu tindakan yang akan melemahkan pasukan tentera.

“Saya telah menghabiskan separuh daripada hidup saya dalam tentera, termasuk dalam misi pertempuran di Afghanistan.

“Menyingkirkan anggota terlatih seperti saya bermakna kehilangan tenaga kerja berpengalaman yang sukar digantikan,” katanya lagi.

Pengarah undang-undang NCLR, Shannon Minter, pula menyifatkan dasar itu sebagai “pembersihan sepenuhnya anggota transgender dari perkhidmatan tentera.”

“Kerajaan telah mengkhianati anggota yang setia berkhidmat, mematuhi peraturan serta mempertaruhkan nyawa demi negara,” katanya lagi.

Sehingga kini, Pentagon tidak mendedahkan jumlah sebenar anggota transgender dalam tentera AS.

Namun, kajian Institut Williams pada 2014 menganggarkan sekitar 15,500 anggota transgender sedang berkhidmat.

Laporan Rand Corporation pada 2016 pula menyatakan anggaran maksimum adalah 10,790, tetapi jumlahnya boleh serendah 2,150 orang

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button