LUAR NEGARA

Pengasas Telegram bahagi harta sama rata kepada lebih 100 anaknya

DUBAI – Pengasas aplikasi Telegram, Pavel Durov merancang untuk menyerahkan semua hartanya kepada lebih 100 anak yang lahir daripada benihnya.

Durov,40, mendedahkan harta pusakanya akan dibahagikan antara enam orang anak hasil hubungannya dengan beberapa wanita serta puluhan anak lain yang dilahirkannya melalui sumbangan sperma.

“Saya tidak mahu mereka berbalah selepas saya tiada nanti,” katanya, dalam satu wawancara dengan majalah politik Perancis, Le Point yang diterbitkan minggu lepas.

Jutawan Russia itu pertama kali mendedahkan jumlah anak yang terhasil daripada benihnya menerusi media, sosial tahun lalu.

Menurutnya, seorang doktor pernah memberitahunya adalah menjadi “tanggungjawab sivik” untuk menderma “bahan penderma berkualiti tinggi,” dan beliau telah melakukannya selama lebih 15 tahun.

“Mereka semua adalah anak saya dan akan mendapat hak yang sama!

“Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak membezakan antara anak-anak saya, sama ada yang dilahirkan secara semula jadi atau melalui sperma derma,” katanya.

Bagaimanapun, anak-anaknya perlu menunggu lama untuk mewarisi harta tersebut, kerana Durov dalam wasiat terbaharunya, memutuskan akses kepada harta berkenaan hanya akan diberikan 30 tahun dari sekarang.

“Saya mahu mereka hidup seperti orang biasa, membina diri sendiri, belajar mempercayai diri, mampu mencipta, dan tidak bergantung kepada akaun bank,” katanya dalam temubual itu.

Apabila ditanya mengapa beliau menulis wasiat sekarang, Durov yang kini menetap di Dubai menjawab: “Kerja saya melibatkan risiko, iaitu mempertahankan kebebasan akan mencipta banyak musuh, termasuk dari negara-negara berkuasa.

“Saya mahu melindungi anak-anak saya, dan juga syarikat yang saya bina, Telegram. Saya mahu Telegram kekal setia kepada nilai-nilai yang saya perjuangkan,” katanya lagi.

Menurut Bloomberg, nilai kekayaan Durov dianggarkan sekitar AS$13.9 bilion, namun beliau menolak anggaran itu sebagai “teoretikal”.

“Oleh kerana saya tidak menjual Telegram, ia (amaun aset) tidak penting. Saya tidak menyimpan wang ini dalam akaun bank.

“Aset cair saya jauh lebih rendah dan ia bukan datang daripada Telegram, tetapi daripada pelaburan saya dalam bitcoin pada tahun 2013,” jelasnya.

Telegram, yang kini mempunyai lebih satu bilion pengguna bulanan, terkenal dengan tahap penyulitan tinggi dan pengawasan minimum terhadap kandungan yang dikongsi pengguna.

Durov pernah ditahan di Paris tahun lepas atas beberapa tuduhan termasuk dakwaan bahawa platformnya terlibat secara tidak langsung dalam membantu aktiviti pengubahan wang haram, pengedaran dadah dan penyebaran pornografi kanak-kanak.

Beliau selaku pemegang saham tunggal dalam aplikasi permesejan itu menafikan semua pertuduhan dan menyifatkannya sebagai “tidak masuk akal.”

“Hanya kerana penjenayah menggunakan aplikasi kami, seperti juga aplikasi lain, tidak bermakna mereka yang mengendalikannya adalah penjenayah,” katanya kepada majalah Perancis itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button