LUAR NEGARA

Operasi Sindoor: India serang 9 sasaran militan di wilayah Pakistan dan Kashmir

NEW DELHI – Serangan ketenteraan berskala besar oleh Tentera Udara India di dalam Operasi Sindoor awal pagi ini didakwa menyasarkan sembilan lokasi kem militan di Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir negara itu.

Serangan itu menandakan peningkatan serius dalam ketegangan antara dua negara berjiran yang telah lama berselisih mengenai isu Kashmir.

Menurut laporan portal NDTV yang memetik sumber ketenteraan India, kesemua lokasi yang disasarkan berjaya dimusnahkan.

Antara lokasi yang menjadi sasaran dalam operasi tersebut ialah kem yang dikuasai militan Jaish-e-Mohammed iaitu Markas Subhan Allah di Bahawalpur; Markas Sarjal di Tehra Kalan; Markas Abbas di Kotli dan Markas Syedna Bilal di Muzaffarabad.

Selain itu, turut diserang markas militan Lashkar-e-Taiba iaitu Markas Taiba di Muridke; Markas Ahle Hadith di Barnala dan Markas Shawai Nalla di Muzaffarabad.

Dua lagi lokasi iaitu Markas Mehmoona Joya di Sialkot dan Markas Raheel Shahid di Kotli dikendalikan oleh militan Hizbul Mujahideen.

Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Pertahanan India mengesahkan bahawa pihaknya telah menyerang infrastruktur militan di Pakistan dan Jammu serta Kashmir yang ditadbir Pakistan.

“Ia menjadi tempat perancangan dan pengendalian serangan pengganas terhadap India.

“Tindakan kami adalah bersifat fokus, terkawal dan tidak bertujuan untuk mencetuskan ketegangan.

“Tiada kemudahan ketenteraan Pakistan yang disasarkan. India telah menunjukkan tahap kawalan yang tinggi dalam pemilihan sasaran dan kaedah pelaksanaan,” menurut kenyataan tersebut.

Serangan itu adalah antara tindakan paling jauh ke dalam wilayah Pakistan yang pernah dilakukan oleh India sejak Perang Indo-Pakistan 1971.

Ia dilihat sebagai tindak balas kepada insiden serangan berdarah di Pahalgam, Kashmir bulan lalu yang mengorbankan 25 pelancong India dan mencetuskan kemarahan rakyat India serta gesaan balas dendam dari pelbagai pihak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button