
Murid 10 tahun mati dipukul guru besar ketika perhimpunan
PESHAWAR – Seorang murid lelaki 10 tahun meninggal dunia selepas dipukul guru besar sekolahnya sewaktu perhimpunan pagi di sebuah sekolah swasta di utara Pakistan.
Mangsa, Khyalmat Khan, dilaporkan dipukul berulang kali dengan sebatang rotan oleh guru besar, Waar Ahmed, di hadapan semua murid kerana didakwa melakukan kesalahan kecil.
Insiden itu berlaku di daerah Khyber, Pakistan, pada Jumaat lalu, lapor portal berita Kuwait, Arab Times.
Menurut polis tempatan, Khyalmat dipukul pada bahagian tengkuk, kepala, muka dan belakang badan.
Dia kemudiannya dihantar ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Susulan kejadian, guru besar tersebut ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pegawai Polis Daerah Khyber, Rai Mazhar Iqbal dalam satu kenyataan menegaskan, keganasan terhadap kanak-kanak dan wanita sama sekali tidak dibenarkan.
“Tiada siapa berhak menyalahgunakan kedudukan mulia sebagai guru untuk melakukan kekejaman sebegini.
“Guru sepatutnya menjadi penjaga, namun lelaki ini telah mencemari kesucian profesion perguruan,” katanya.
Insiden tragik itu mencetuskan kemarahan penduduk tempatan, terutama dalam kalangan ibu bapa yang menuntut pihak berkuasa mengharamkan sepenuhnya hukuman fizikal di institusi pendidikan.
Pakistan sebelum ini meluluskan satu rang undang-undang penting pada 2021 yang mengharamkan keganasan terhadap kanak-kanak di bandar Islamabad.
Undang-undang itu diperkenalkan selepas beberapa kes penderaan dan kematian membabitkan kanak-kanak di sekolah, institusi keagamaan dan tempat kerja yang dilaporkan secara meluas.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |