LUAR NEGARA

Microsoft, Alphabet dan Amazon didakwa bantu Israel dalam perang genosid di Gaza – Laporan PBB

DUBAI – Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) seperti Microsoft, Alphabet Inc. iaitu syarikat induk Google dan Amazon merupakan antara 48 korporat dinamakan sebagai syarikat yang membantu Israel dalam pengusiran rakyat Palestin serta perang genosid terhadap Gaza.

Senarai syarikat-syarikat korporat itu terkandung dalam laporan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Wilayah Palestin Yang Diduduki, Francesca Albanese yang akan dibentangkan secara rasmi di Geneva, esok, lapor al-Jazeera.

Sebuah pangkalan data yang merangkumi lebih 1,000 entiti korporat juga telah disusun sebagai sebahagian daripada siasatan tersebut.

“Penjajahan kekal (Israel) telah menjadi medan ujian ideal bagi pengeluar senjata dan syarikat teknologi besar.

“Dengan permintaan dan penawaran yang tinggi, pengawasan yang minimum, serta tanpa sebarang akauntabiliti, sementara pelabur serta institusi awam dan swasta memperoleh keuntungan secara bebas.

“Syarikat-syarikat ini kini bukan sekadar terlibat dalam penjajahan, mereka mungkin telah menjadi sebahagian daripada ekonomi genosid,” tambah laporan itu, merujuk kepada serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Tahun lalu, Albanese menyatakan terdapat “alasan munasabah” untuk mempercayai bahawa Israel sedang melakukan genosid terhadap wilayah Palestin yang dikepung itu.

Laporan tersebut menyatakan bahawa penemuannya menggambarkan “mengapa genosid Israel terus berlaku”.

“Kerana ia menguntungkan ramai pihak,” jelasnya.

Antara yang dinamakan dalam laporan itu termasuk syarikat pengeluar Itali, Leonardo S.p.A disenaraikan sebagai penyumbang utama dalam sektor ketenteraan, manakala syarikat Jepun, FANUC Corporation membekalkan mesin robotik bagi barisan pengeluaran senjata.

Syarikat teknologi Amerika, IBM juga bertanggungjawab melatih anggota tentera dan perisikan serta menguruskan pangkalan data utama Pihak Berkuasa Penduduk, Imigresen dan Sempadan Israel (PIBA) yang menyimpan data biometrik rakyat Palestin, menurut laporan itu lagi.

Laporan itu turut menyenaraikan beberapa syarikat yang membangunkan teknologi awam yang berfungsi sebagai “alat dwi-guna” bagi menyokong penjajahan wilayah Palestin oleh Israel.

Antaranya termasuk Caterpillar, Rada Electronic Industries milik Leonardo, HD Hyundai dari Korea Selatan dan Volvo Group dari Sweden, yang menyediakan jentera berat untuk kerja-kerja perobohan rumah dan pembangunan penempatan haram di Tebing Barat.

Platform penyewaan seperti Booking dan Airbnb juga membantu penempatan haram Israel dengan menyenaraikan hartanah dan bilik hotel di wilayah yang diduduki secara haram.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button