LUAR NEGARA

Menteri Luar Iran bertemu Putin susulan serangan AS ke atas infrastruktur nuklear

ISTANBUL – Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi akan ke Moscow hari ini bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin susulan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran, awal pagi tadi.

Menurut Reuters, antara perkara yang akan dibincangkan nanti termasuk usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Tehran dan Moscow berikutan ketegangan terbaharu di Asia Barat yang semakin memuncak.

Dalam kenyataannya ketika lawatan rasmi ke Turki, Araghchi mengecam tindakan Amerika Syarikat yang didakwa telah ‘melanggar garis merah’ dengan menyerang infrastruktur nuklear Iran yang sah dan diawasi oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Amerika Syarikat telah menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati undang-undang antarabangsa. Mereka hanya memahami bahasa ancaman dan kekerasan,” katanya kepada media.

Ketegangan memuncak minggu ini selepas beberapa kemudahan nuklear utama Iran dilapor mengalami kerosakan besar akibat serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat.

Washington mendakwa tindakan itu adalah langkah pencegahan bagi menghalang Tehran daripada membangunkan senjata nuklear, namun Iran menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman.

Susulan serangan itu, tentera Iran kini berada dalam keadaan siaga penuh, manakala pemimpin tertinggi negara itu berikrar akan mengambil tindakan balas yang bersesuaian.

“Kami sedang mempertimbangkan semua pilihan untuk mempertahankan keselamatan, kepentingan dan rakyat kami.

“Tunggu dahulu tindak balas kami. Apabila pencerobohan berakhir, barulah kami akan menilai langkah seterusnya,” tegas Araghchi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kremlin mengesahkan bahawa tiada sebarang rancangan untuk Putin mengadakan perbualan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam masa terdekat susulan serangan tersebut.

Pertemuan antara Araghchi dan Putin dijangka menjadi platform penting bagi Iran mendapatkan sokongan diplomatik dan ketenteraan Rusia ketika situasi di Asia Barat terus memanas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button