LUAR NEGARASUKAN

Liverpool hampiri kejuaraan, Leicester tersingkir ke Liga Kejuaraan

LEICESTER – Liverpool hanya selangkah lagi untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Leicester City 1-0 di Stadium King Power awal pagi ini, sekali gus menyaksikan tuan rumah tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain gantian, Trent Alexander-Arnold pada minit ke-76 hasil rembatan kaki kiri selepas situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol Leicester.

Foto – Liverpool FC

Ia merupakan gol pertama pemain itu menggunakan kaki kiri dalam karier profesionalnya.

Kemenangan tersebut membolehkan Liverpool mengumpul 79 mata selepas 33 perlawanan, mengatasi Arsenal yang berada di tempat kedua dengan 66 mata.

Sekiranya Arsenal tewas kepada Crystal Palace pada Rabu ini, kejuaraan secara rasmi akan menjadi milik skuad kendalian Arne Slot.

Bagaimanapun, jika Arsenal menang, Liverpool masih berpeluang mengesahkan kejuaraan apabila melayani kunjungan Tottenham Hotspur hujung minggu ini.

Alexander-Arnold yang kembali beraksi selepas mengalami kecederaan berkata, beliau gembira dapat membantu pasukan menjaringkan gol penting.

“Kami sangat hampir untuk bergelar juara. Saya sangat teruja dapat kembali bermain dan menjaringkan gol, apatah lagi dengan kaki kiri. Itulah jenis gol yang saya belum pernah lakukan sebelum ini,” katanya memetik laporan Sky Sports.

Walaupun mencatatkan 28 percubaan ke arah gol, skuad The Reds dilihat kurang tajam di hadapan gawang.

Mohamed Salah yang kini mengumpul 27 gol EPL musim ini, tidak bernasib baik apabila satu percubaannya terkena kedua-dua tiang, selain sekali lagi terkena palang sebelum Alexander-Arnold menyudahkan peluang tersebut.

Leicester yang menunjukkan semangat juang tinggi turut mencipta beberapa peluang, antaranya menerusi rembatan rendah Wilfred Ndidi yang terkena tiang serta jaringan Conor Coady yang dibatalkan kerana kekasaran Patson Daka terhadap penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.

Kekalahan itu meletakkan Leicester di kedudukan ke-18 dengan hanya 18 mata, dan tidak lagi mampu mengejar West Ham United di tangga ke-17.

Lebih malang, mereka mencipta rekod kekalahan kesembilan berturut-turut di laman sendiri tanpa sebarang jaringan.

Pemain pertahanan Leicester, Conor Coady mengakui mereka gagal menunjukkan prestasi konsisten sepanjang musim.

“Saya fikir kami bermain agak baik hari ini dan berjaya menyekat Liverpool untuk sebahagian besar perlawanan. Tapi musim ini secara keseluruhannya sangat mengecewakan,” katanya lagi.

Alexander-Arnold yang kini dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid enggan mengulas lanjut mengenai masa depannya di Anfield.

“Saya sudah nyatakan sepanjang musim bahawa saya tidak akan bercakap mengenai situasi saya.

“Apa yang penting ialah menikmati detik seperti hari ini, menjaringkan gol dan membantu pasukan menang,” jelasnya.

Leicester kini mengikut jejak Southampton yang lebih awal mengesahkan penyingkiran ke Liga Kejuaraan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button