LUAR NEGARA

Letupan gegar Caracas, ketegangan Venezuela–AS semakin memuncak

CARACAS – Beberapa letupan dilaporkan menggegarkan ibu negara Venezuela awal pagi ini dengan kepulan asap tebal kelihatan naik ke udara di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara negara itu dan Amerika Syarikat (AS).

Wartawan Al Jazeera di Caracas melaporkan bunyi letupan kuat kedengaran di beberapa lokasi, manakala rakaman video yang diperoleh stesen itu memaparkan bola api serta asap tebal keluar dari sebuah struktur berhampiran kawasan perairan di bandar berkenaan.

“Letupan dipercayai berlaku di sekitar atau berhampiran Fortuna, pangkalan tentera utama di Caracas,” menurut laporan tersebut yang memetik sumber.

Sementara itu wartawan Al Jazeera, Lucia Newman yang melaporkan dari Santiago, Chile berkata, beberapa letupan didengar berturut-turut sebelum gangguan bekalan elektrik melanda kawasan terlibat.

“Fortuna merupakan pangkalan tentera yang sangat penting. Letupan dilaporkan kedengaran di seluruh kawasan sebelum berlaku pemadaman elektrik,” katanya.

Beliau menambah, terdapat andaian awal bahawa AS mungkin mempunyai kaitan dengan insiden itu, namun punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.

“Kami masih belum mengetahui bagaimana letupan ini berlaku. Terdapat juga kemungkinan ia berpunca daripada sabotaj dalaman melibatkan unsur tentera yang cuba menggulingkan Presiden Nicolas Maduro,” katanya.

Agensi berita Associated Press pula melaporkan sekurang-kurangnya tujuh letupan didengar di Caracas, selain kehadiran pesawat terbang rendah di ruang udara ibu negara itu.

Insiden terbaharu itu berlaku ketika Maduro menyatakan kesediaan negaranya untuk berunding dengan AS berhubung usaha memerangi penyeludupan dadah, walaupun beliau berdiam diri mengenai dakwaan serangan diketuai Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS ke atas Venezuela minggu lalu.

Kenyataan itu dibuat dalam satu wawancara yang disiarkan pada Khamis, ketika Maduro dilihat mengambil pendekatan lebih berdamai terhadap Washington di sebalik tekanan sekatan ekonomi dan ketenteraan yang berterusan oleh AS sejak beberapa bulan lalu.

Donald Trump Maduro
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro (gambar kecil).

Bagaimanapun, Maduro sekali lagi menuduh AS cuba menggulingkan kerajaannya dan menguasai rizab minyak Venezuela melalui kempen tekanan dan sekatan yang berpanjangan.

Apabila ditanya secara langsung sama ada beliau mengesahkan atau menafikan serangan AS di bumi Venezuela, Maduro berkata: “Ini mungkin sesuatu yang boleh kita bincangkan dalam beberapa hari lagi.”

Maduro turut menyifatkan pendekatan pentadbiran Presiden Donald Trump sebagai bukti bahawa AS berusaha memaksakan kehendaknya ke atas Venezuela melalui ancaman, intimidasi dan penggunaan kekerasan.

Wawancara tersebut dirakam pada malam Tahun Baharu 2026, hari yang sama tentera AS dilaporkan melancarkan serangan ke atas lima bot yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah, mengakibatkan sekurang-kurangnya lima kematian.

Serangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan serangan bot di Caribbean dan Pasifik timur kepada 35, dengan sekurang-kurangnya 115 kematian direkodkan, menurut angka yang diumumkan oleh pentadbiran Trump.

Mangsa dilaporkan terdiri daripada warga Venezuela dan Colombia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button