LUAR NEGARA

Lebih 700 jemaah haji tidak berdaftar Indonesia disekat Imigresen

TANGERANG – Sekumpulan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta menyekat pelepasan lebih 700 jemaah haji Indonesia yang cuba melakukan perjalanan ke Arab Saudi menerusi cara tidak rasmi dan dilarang.

Ketua Pejabat Imigresen Soekarno-Hatta, Johanes Fanny Satria Cahaya Aprianto berkata, keberangkatan mereka dihalang antara 23 April hingga 31 Mei lalu, menurut laporan laman berita Jakarta Globe.

Jemaah haji Indonesia dirakam bersedia untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya. – AFP

“Dalam tempoh itu, kami menyekat 719 individu yang cuba berlepas menggunakan kaedah bercanggah dengan prosedur jemaah haji,” kata Fanny kepada pemberita semalam.

“Pejabat Imigresen Soekarno-Hatta telah mengawasi keberangkatan 55,870 jemaah haji rasmi antara 2 Mei hingga 31 Mei dari empat pintu berlepas iaitu Pondok Gede (Jakarta), Bekasi (Jawa Barat), Bandar Lampung (Lampung) dan Tangerang (Banten).

“Namun, selain aliran lancar jemaah haji rasmi, pihak berwajib juga mengesan sejumlah besar jemaah haji tidak sah,” tambahnya.

Menurut Fanny, ramai jemaah haji cuba memasuki Arab Saudi menggunakan visa bukan haji seperti visa kerja atau visa pertubuhan amal.

Beliau mengaitkan peningkatan percubaan haram itu dengan senarai menunggu haji yang panjang, mencecah 40 tahun.

“Mereka ini sering cuba menyamar sebagai jemaah haji rasmi.

“Mereka memakai pakaian serupa, membawa beg yang sama dan bergerak dalam kumpulan besar untuk kelihatan sah,” ujar Fanny.

Justeru, Fanny menyeru orang ramai agar mengikut prosedur yang sah dan memberi amaran bahawa penggunaan jalan pintas juga mendedahkan individu kepada risiko diusir dan dikenakan tindakan undang-undang lain oleh kerajaan Arab Saudi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button