LUAR NEGARA

Lebih 2 juta umat Islam berwukuf di Arafah hari ini

MINA — Lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Padang Arafah hari ini bagi melaksanakan rukun terpenting dalam ibadah haji iaitu wukuf, kemuncak kepada perjalanan spiritual lima hari yang penuh makna.

Menurut laporan portal Arab News, sejak semalam, para jemaah telah tiba di Mina sempena Hari Tarwiyah, meneladani langkah Nabi Muhammad SAW yang bermalam di situ sebelum bergerak ke Arafah.

Pada malam tersebut, jemaah memperbanyakkan doa dan zikir serta melafazkan kalimah talbiyah sebagai persediaan jiwa untuk saat paling agung dalam ibadah haji.

Lebih dua juta umat Islam berkumpul di Arafah bagi melaksanakan kemuncak haji iaitu berwukuf dalam keadaan cuaca 41 darjah Celcius.

“Setakat ini, lebih 1.5 juta jemaah disahkan tiba dari luar Arab Saudi. Pergerakan mereka ke Mina berjalan lancar hasil pelan lalu lintas menyeluruh yang turut dipantau oleh pasukan keselamatan udara, sekali gus memastikan kelancaran fasa kritikal ibadah ini.

“Pelbagai sektor kerajaan dan swasta digerakkan sepenuhnya atas arahan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bagi menjamin kelancaran ibadah dan keselamatan para jemaah,” menurut laporan tersebut.

Dalam cuaca panas sekitar 41 darjah celsius, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengingatkan jemaah agar mengambil tahu lokasi hospital dan pusat perubatan sekiranya memerlukan bantuan, sambil menegaskan bahawa semua kemudahan telah disiapkan demi kesihatan dan keselamatan mereka.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Khalid Al-Tala dalam sidang media pada 3 Jun lalu mengumumkan beberapa inisiatif kesihatan baharu termasuk penggunaan teknologi dron untuk penghantaran perubatan pantas ke kawasan terpencil iaitu yang pertama seumpamanya di dunia.

Pusat Pemantauan Alam Sekitar Kebangsaan Arab Saudi telah mula menggunakan teknologi pemantauan satelit baharu bagi musim Haji tahun ini.

Setakat hari ketujuh Zulhijjah, kementerian telah memberikan lebih 98,000 perkhidmatan kesihatan merangkumi rawatan kecemasan, pembedahan dan rawatan rapi.

Tiga hospital medan baharu juga ditubuhkan dengan gabungan kapasiti 1,200 katil, selain 71 titik tindak balas kecemasan, 900 ambulans dan 11 pesawat pemindahan perubatan digerakkan.

Lebih 50,000 petugas kesihatan dan teknikal kini terlibat, menjadikan kapasiti rawatan meningkat 60 peratus berbanding musim lalu.

Teknologi canggih seperti ECMO dan perkhidmatan kesihatan maya turut diaktifkan.

Seorang jemaah dari Mesir, Fatima Al-Sayed, memuji pengurusan Arab Saudi di Mina yang dianggap sangat teratur dan memberi keselesaan.

“Khemahnya berhawa dingin, bersih dan selesa. Perkhidmatan kesihatan mudah dicapai, makanan dan air diagih dengan lancar,” katanya kepada Arab News.

Mina yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Masjidil Haram hanya didiami pada musim haji.

Ia bersempadan dengan kawasan Jamarat dan Lembah Muhassir yang terkenal dengan kisah sejarah berkaitan Tahun Gajah.

Hari ini, seluruh perhatian umat Islam tertumpu ke Arafah, tempat yang disebut Nabi SAW sebagai ‘Haji itu Arafah’ di mana lautan manusia akan berada di sana dalam doa, linangan air mata dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button