LUAR NEGARA

Kematian Antraks pertama sejak 1994 – Kementerian Kesihatan Thailand

BANGKOK – Kementerian Kesihatan Thailand menggesa orang ramai supaya tidak panik susulan laporan kematian pertama akibat jangkitan Antraks di negara itu.

Jurucakap Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Weerawat Manosuthi berkata, mangsa adalah seorang lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai pernah mengendalikan seekor lembu yang mati di wilayah Mukdahan, bersempadan dengan Laos, tanpa menggunakan perlindungan yang sesuai.

“Lelaki tersebut menunjukkan simptom jangkitan dua hari selepas insiden dan mendapatkan rawatan di hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada Rabu lalu. Beliau juga mempunyai masalah kesihatan sedia ada,” katanya memetik laporan BH online.

Kes tersebut menandakan kematian pertama akibat Antraks di Thailand sejak tahun 1994, yang ketika itu turut mengakibatkan tiga kematian.

Sebagai langkah pencegahan, pihak berkuasa telah memulakan pemberian vaksin kepada lebih 1,200 ekor lembu di kawasan terjejas selepas beberapa haiwan dikesan mengalami simptom penyakit serta kematian yang tidak dapat dijelaskan.

Dalam pada itu, seorang lagi lelaki berusia 53 tahun yang turut mengendalikan lembu tersebut juga disahkan positif Antraks dan sedang dirawat di hospital.

Weerawat berkata, seramai 638 individu yang dikenal pasti dalam kumpulan berisiko tinggi termasuk tukang sembelih dan penduduk yang memakan daging lembu mentah kini sedang dipantau dan diberikan antibiotik.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengelak daripada memakan daging mentah, khususnya di kawasan timur laut Thailand yang dikenali dengan sajian tradisional ‘lap dip’ – daging mentah yang dicampur dengan cili, bawang merah dan herba.

Data terkini menunjukkan dua kes Antraks direkodkan di Thailand pada 2017 manakala pada tahun 2000, seramai 15 individu dijangkiti namun tiada kematian dilaporkan.

Laos, mencatatkan 129 kes jangkitan dengan satu kematian tahun lalu.

Pihak berkuasa kini memperketat pemantauan terhadap ternakan dan makanan bagi mengelak penularan lebih meluas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button