LUAR NEGARA

Kartun hina nabi: Editor, kartunis majalah satira ditahan polis Turkiye

ISTANBUL – Pihak berkuasa Turkiye menahan editor dan kartunis majalah satira LeMan selepas satu kartun terbitannya didakwa menghina Nabi Muhammad SAW, sekali gus mencetuskan rusuhan di ibu kota negara itu.

Ketegangan memuncak apabila Ketua Pendakwa Raya Istanbul mengeluarkan arahan penangkapan terhadap pihak editorial majalah berkenaan atas tuduhan “menghina nilai agama secara terbuka”.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, individu yang bertanggungjawab melukis kartun terbabit telah dikenal pasti dan ditahan.

“Individu bernama DP yang menghasilkan lukisan keji ini telah ditahan,” kata sambil menegaskan bahawa ‘mereka yang tidak tahu malu ini akan dipertanggungjawab di sisi undang-undang’.

Sementara itu, Ketua Editor LeMan, Tuncay Akgun menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan imej berkenaan telah disalah tafsir.

“Ini bukanlah karikatur Nabi Muhammad sama sekali.

“Dalam karya ini, nama seorang Muslim yang terbunuh akibat pengeboman Israel difiksyenkan sebagai Muhammad. Lebih 200 juta umat Islam bernama Muhammad. Ia tiada kaitan dengan Nabi,” tegasnya.

Majalah itu turut mempertahankan kartun tersebut melalui hantaran di media sosial.

“Pelukis hanya ingin menggambarkan kezaliman terhadap umat Islam yang dibunuh oleh Israel, bukan memperlekeh agama. Ia telah disalah tafsir secara sengaja untuk mencetuskan provokasi.

“Kami tidak menerima stigma ini kerana tiada gambaran Nabi kami dalam kartun itu,” kata mereka.

Protes terhadap LeMan mencetuskan rusuhan melibatkan sehingga 300 orang awam dengan polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Menteri Kehakiman, Yilmaz Tunc, menegaskan siasatan dibuka atas dakwaan menghina nilai agama.

“Tiada kebebasan yang membenarkan sesiapa mempermainkan nilai suci kepercayaan. Ia bukan sahaja mencemarkan agama, malah mengganggu keharmonian masyarakat,” kata beliau.

Dalam pada itu, Gabenor Istanbul, Davut Gul pula memberi amaran terhadap sebarang tindakan yang menyerang nilai keimanan rakyat.

“Kami tidak akan berdiam diri terhadap perbuatan keji yang menyasarkan kepercayaan umat,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button