Gempa kuat di Afghanistan ragut 20 nyawa, ratusan cedera
KABUL – Sekurang-kurangnya 20 orang terkorban manakala lebih 640 lagi cedera apabila gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan wilayah utara Afghanistan awal pagi semalam.
Pusat gempa dikesan kira-kira 22 kilometer dari bandar Khulm pada kedalaman 28 kilometer menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Kejadian berlaku sekitar jam 12.59 tengah malam waktu tempatan dan mengejutkan penduduk yang sedang tidur.
Jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Afghanistan, Qari Taj Mohammad Hemat berkata, angka korban dijangka meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
“Setakat ini, 20 maut dan 643 cedera. Sebanyak 25 mangsa dilaporkan kritikal,” memetik laporan The Guardian.
Penduduk di Khulm dilihat menggali runtuhan menggunakan tangan dan peralatan asas bagi mencari ahli keluarga yang tertimbus. Kebanyakan rumah yang dibina daripada lumpur dan bata di kawasan luar bandar dilaporkan musnah akibat gegaran kuat.
Sementara itu, rakaman di media sosial menunjukkan kerosakan kecil pada Masjid Biru, mercu tanda bersejarah di Mazar-i-Sharif, apabila beberapa batu bata jatuh dari dinding namun struktur keseluruhan masih utuh.
Kementerian Pertahanan Afghanistan memaklumkan pasukan penyelamat telah dikerahkan ke lokasi bagi memberi bantuan kecemasan dan memindahkan mangsa tercedera.
Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid mengesahkan semua agensi kerajaan digerakkan bagi membantu mangsa dan menilai kerosakan.
Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan negara itu bersolidariti dengan Afghanistan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengesahkan pasukannya sudah berada di kawasan terjejas untuk menilai keperluan dan menyalurkan bantuan.
Afghanistan yang terletak dalam zon tektonik aktif sering berdepan bencana gempa bumi besar.
Pada Ogos lalu, lebih 2,200 orang terkorban dalam kejadian di timur negara itu manakala tragedi pada Oktober 2023 meragut sekurang-kurangnya 4,000 nyawa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






