
Gempa bumi Tibet: Angka kematian meningkat
TIBET – Sekurang-kurangnya 126 orang terkorban akibat gempa bumi yang melanda kawasan terpencil di wilayah Tibet, China semalam.
Laporan media antarabangsa menyebut, Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC) mengukur magnitud gempa tersebut pada 6.8, sementara Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan magnitud 7.1.
Gempa bumi yang berlaku pada kira-kira pukul 9 pagi (0100 GMT) itu melanda daerah Tingri, yang terletak sekitar 80 kilometer di utara Gunung Everest, berhampiran sempadan China-Nepal, dan turut dirasai di ibu negara Nepal, Kathmandu serta beberapa bahagian India.
Pasukan penyelamat mengalami kesukaran melaksanakan operasi di kawasan terjejas, susulan runtuhan bangunan beserta suhu di bawah paras beku.
Rakaman video yang disiarkan oleh CCTV menunjukkan rumah-rumah musnah dengan dinding yang runtuh dan pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengharungi runtuhan untuk menyelamatkan mangsa.
Setakat ini, 188 orang dilaporkan cedera, dengan 28 daripadanya berada dalam keadaan kritikal dan telah dipindahkan ke hospital untuk rawatan.
Selain itu, 3,609 rumah dilaporkan runtuh akibat gegaran tersebut.
Pihak berkuasa tempatan sedang berusaha untuk memberikan bantuan kecemasan dan mengesan lebih banyak mangsa yang masih terperangkap.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |