
Elon Musk dakwa RUU cukai Trump berat sebelah, gesa Kongres tolak
WASHINGTON – Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) yang dicadangkan oleh Presiden Donald Trump sebagai satu “kekejian yang menjijikkan” dan boleh menjejaskan ekonomi negara.
RUU yang diberi nama “One Big Beautiful Bill” itu telah diluluskan Dewan Perwakilan dan kini menunggu kelulusan Senat.
Ia bertujuan menyambung potongan cukai dari dasar era Trump dan memperkenalkan pemotongan cukai baharu, termasuk ke atas bayaran lebih masa, tip serta faedah pinjaman kenderaan.
Musk berkata, rang undang-undang tersebut terlalu berat sebelah dan sarat dengan pembaziran.
“Saya tidak tahan lagi. RUU ini sangat besar, keterlaluan dan penuh omong kosong. Ia satu kekejian.
“Malulah kepada mereka yang menyokongnya – kamu tahu kamu salah,” katanya menerusi satu hantaran di platform X hari ini.
Musk turut memberi amaran bahawa sekiranya diluluskan, RUU itu boleh menyebabkan defisit bajet AS meningkat sebanyak AS$2.4 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Tesla mungkin mengalami kerugian melebihi AS$3 bilion jika kredit cukai ke atas kenderaan elektrik dimansuhkan,” katanya lagi.
RUU tersebut juga mencadangkan pemotongan terhadap beberapa program kebajikan penting seperti Medicaid dan bantuan makanan SNAP, yang dijangka memberi kesan kepada berjuta rakyat berpendapatan rendah.
Sementara itu, jurucakap Trump, Karoline Leavitt menegaskan Presiden itu kekal menyokong penuh RUU berkenaan walaupun mendapat bantahan daripada tokoh industri teknologi.
“Presiden telah tahu pendirian Elon Musk, namun beliau tetap percaya RUU ini adalah satu pakej ekonomi yang besar dan baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Penganalisis menjangkakan RUU itu mungkin berdepan laluan sukar di Senat apabila beberapa senator Republikan mula menyuarakan kebimbangan terhadap kesannya kepada hutang negara.
Musk sebelum itu pernah menjadi penasihat Trump dalam pentadbiran lalu namun kini lebih menumpukan kepada syarikat teknologi miliknya termasuk Tesla dan syarikat kecerdasan buatan, xAI.
Pemerhati politik melihat kenyataan keras Musk ini sebagai isyarat pergeseran hubungan antara dua tokoh berpengaruh itu, yang sebelum ini dilihat saling menyokong dari segi dasar teknologi dan ekonomi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |