
China uji pesawat halimunan baharu?
NEW YORK – Pakar pertahanan Barat mengakui imej dua pesawat terbang didakwa dirakam di China menunjukkan rekaan pesawat terbaharu dengan ciri halimunan.
Menurut Reuters, imej tersebut yang mula tersebar di media sosial sejak kelmarin, menunjukkan reka bentuk pesawat yang berbeza daripada segi saiz, namun mempunyai persamaan daripada segi tidak mempunyai sirip ekor.
“Walau apapun kekurangan atau kelebihan, ia kelihatan sebagai reka bentuk yang sangat asli.
“Mereka (industri pertahanan China) patut diberi pujian untuk itu, dan ini seharusnya menghilangkan rasa selesa bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya sentiasa mendahului,” kata Euan Graham, seorang penganalisis kanan di Institut Dasar Strategik Australia.
Tambahnya, ketika China memodenkan tenteranya, reka bentuk ini “menunjukkan kesediaan industri penerbangan China untuk bereksperimen dan berinovasi.”
Imej yang tersebar menunjukkan salah sebuah pesawat itu mempunyai bentuk yang lebih besar dan berbentuk seperti berlian, dengan tiga saluran udara untuk enjin – dua di sisi badan pesawat dan satu di atas – konfigurasi yang sangat jarang ditemui.
Pesawat yang lebih kecil pula mempunyai reka bentuk yang lebih konvensional tetapi tanpa sirip ekor.
Kedua-duanya direka tanpa sudut 90 darjah, ciri tipikal reka bentuk halimunan dalam usaha mengurangkan pengesanan radar.
Nama dan jenis kedua-dua pesawat tersebut belum diumumkan secara rasmi, menyebabkan penerbangan yang berjaya dirakam itu dianggap sebagai fasa ujian.
Bagaimanapun, menurut pakar pertahanan dan penerbangan di Institut Asia Griffith Australia, Peter Layton, sukar secara umum untuk memberi label seperti generasi kelima – yang merangkumi jet halimunan seperti F-22 dan F-35 – kepada pesawat China, yang sering mempunyai ciri reka bentuk unik yang jarang digunakan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |