LUAR NEGARA

Bimbang keselamatan, ribuan peminat batal pembelian tiket Piala Dunia 2026

NEW YORK – Kebimbangan terhadap isu keselamatan, ketegangan politik dan hak asasi manusia di Amerika Syarikat (AS) mendorong puluhan ribu peminat bola sepak membatalkan tiket Piala Dunia 2026, sekali gus mencetuskan kebimbangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjelang kejohanan berprestij itu.

Laporan TicketNews menyebut, pembatalan tiket berlaku secara besar-besaran sepanjang hujung minggu lalu sehingga memaksa FIFA menjadualkan satu mesyuarat tergempar pada minggu ini.

Menurut portal Roya News, kira-kira 16,800 pemegang tiket dilaporkan membatalkan tiket Piala Dunia mereka dalam tempoh semalaman.

Pembatalan tersebut dikaitkan dengan gerakan boikot yang semakin rancak di media sosial apabila peminat antarabangsa menyuarakan kebimbangan terhadap tahap keselamatan serta rasa tidak selesa dengan iklim politik semasa di AS.

Memandangkan FIFA mengamalkan dasar ‘tiada pembatalan’ yang ketat bagi tiket yang telah dijual, angka berkenaan dipercayai merujuk kepada individu yang menarik diri daripada fasa ketiga penjualan tiket, sama ada melalui sistem cabutan rawak atau pembelian menerusi organisasi ahli.

Kempen boikot itu turut dipacu dengan penggunaan tanda pagar #BoycottWorldCup apabila peminat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap hala tuju kejohanan berkenaan.

Malah, sebahagian rakyat AS serta peminat bola sepak global dilaporkan menyeru pemegang tiket supaya mempertimbangkan semula kehadiran mereka sehingga berakhirnya pentadbiran Presiden Donald Trump.

Susulan perkembangan itu, FIFA dilaporkan akan mengadakan mesyuarat minggu ini bagi membincangkan isu keselamatan peminat, penurunan komitmen pembelian tiket serta risiko terhadap reputasi kejohanan memandangkan tarikh penganjuran yang semakin hampir.

Bagaimanapun, setakat ini FIFA belum mengeluarkan agenda rasmi mesyuarat tersebut, yang dijangka melibatkan barisan pegawai kanan, wakil persatuan ahli serta penganjur kejohanan.

Piala Dunia 2026 bakal berlangsung pada 11 Jun hingga 19 Julai depan yang dianjurkan secara bersama oleh Kanada, Mexico dan AS.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button