
Bedah siasat dedahkan anggota paramedik Palestin ditembak “dengan niat membunuh” – PRCS
GAZA CITY – Bedah siasat ke atas jasad 15 anggota paramedik Palestin dan penyelamat kecemasan awam yang terbunuh akibat serangan tentera Israel, 23 Mac lalu menunjukkan mereka ditembak di bahagian atas badan dengan “niat untuk membunuh”.
Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata, ini menambah kepada bukti yang semakin banyak didedahkan dan secara langsung bertentangan dengan kenyataan Israel mengenai insiden tersebut, lapor The Guardian.
Terdahulu, rejim zionis Israel menyatakan tenteranya “tidak menyerang secara rawak” sebarang ambulans, sebaliknya mendakwa mereka melepaskan tembakan terhadap “pengganas” yang menghampiri dengan “kenderaan mencurigakan”.
Bagaimanapun, rakaman video kejadian menunjukkan kenderaan-kenderaan berkenaan bergerak dengan lampu depan dan lampu merah yang berkelip serta jelas dikenali, manakala para petugas dirakam memakai vest keselamatan berwarna terang ketika ditembak.
Jerman, salah satu penyokong paling rapat Israel dalam EU, menggesa siasatan segera dijalankan, semalam.
“Terdapat persoalan yang sangat besar mengenai tindakan tentera Israel sekarang.
“Siasatan dan pertanggungjawaban terhadap pelaku amat diperlukan,” kata jurucakap Kementerian Luar, Christian Wagner, selepas rakaman video itu didedahkan.
Pembunuhan tersebut berlaku di selatan Semenanjung Gaza pada 23 Mac, beberapa hari selepas serangan baharu dilancarkan oleh Israel.
Mereka yang terbunuh termasuk lapan kakitangan PRCS, enam anggota agensi pertahanan awam Gaza, dan seorang pekerja agensi PBB bagi pelarian Palestin.
Jasad mereka kemudiannya ditemukan ditanam berdekatan lokasi tembakan di kawasan Tal al-Sultan di bandar Rafah, yang disifatkan oleh pejabat penyelarasan hal ehwal kemanusiaan PBB sebagai sebuah “kubur besar”.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |