LUAR NEGARA

AS guna 7 pengebom halimunan B2 serang kompleks nuklear Iran

WASHINGTON – Operasi pengeboman Amerika Syarikat (AS) ke atas kompleks nuklear Iran di Fordow, Natanz, dan Esfahan dilaksanakan menerusi serangan udara pesawat pengebom halimunan B2 dan peluru berpandu krus yang dilancarkan dari kapal selam.

Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine berkata, operasi pengeboman yang dilaksanakan pengebom halimunan itu merupakan serangan B2 paling besar dalam sejarah.

“Secara keseluruhannya operasi ini melibatkan 125 pesawat pelbagai jenis.

“Misi ini amat kompleks dan berisiko tinggi dam dilaksanakan dengan kemahiran dan disiplin luar biasa oleh pasukan gabungan kita,” katanya.

Caine berkata demikian ketika sidang akhbar mengenai operasi pengeboman AS di Iran yang diberi nama Operation Midnight Hammer di Washington, hari ini.

Beliau menambah, sebanyak 14 butir bom bunker buster GBU-57 digugurkan di dua lokasi.

“Sasaran di Esfahan diserang menggunakan 24 peluru berpandu krus Tomahawk yang dilancarkan daripada sebuah kapal selam,” katanya lagi tanpa mengulas lanjut.

Beliau menambah, susulan serangan tersebut, angkatan tentera AS diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya.

“Angkatan tentera kami kekal dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang tindakan balas daripada Iran atau serangan oleh proksi, yang merupakan pilihan yang amat tidak bijak.

“Kami akan mempertahankan diri kami. Keselamatan anggota tentera dan orang awam kami tetap menjadi keutamaan tertinggi,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button