LUAR NEGARA

Anggota TNI-AD maut serangan pemisah Papua

JAKARTA – Seorang anggota Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) dilaporkan terbunuh dalam serangan kumpulan pemisah bersenjata di Kepulauan Papua, semalam.

Mangsa, Sarjan Segar Mulyana yang bertugas sebagai anggota kesihatan di Markas Komando Daerah Militer (Kodim) 1715/Yahukimo, maut dipercayai akibat ditembak ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar bekalan ubat dari Hospital Umum Daerah (RSUD) Dekai ke markas tentera, lapor portal Kompas.

Menurut Ketua Penerangan TNI-AD, Brigedier Jeneral Wahyu Yudhayana, kejadian berlaku di Jambatan Kali Biru, Seradala, Daerah Dekai, kira-kira pukul 10.45 pagi waktu tempatan, ketika mangsa secara tiba-tiba diserang oleh sekumpulan anggota Organisasi Papua Merdeka (OPM) yang dipercayai sedang menunggu di lokasi.

“Mangsa ketika itu sedang melaksanakan misi kemanusiaan iaitu membawa ubat untuk rakan setugas yang sakit.

“Namun, beliau diserang secara kejam dan tidak berperikemanusiaan,” katanya kepada media.

Tambahnya, kumpulan bersenjata itu turut disyaki terlibat dalam dua lagi pembunuhan orang awam di Kampung Samboga yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

“Sasaran mereka kini bukan hanya anggota keselamatan, bahkan orang awam turut menjadi mangsa.

“Ini adalah satu bentuk tindakan keganasan dan tidak boleh dibiarkan,” tegasnya.

Beliau turut memberi jaminan operasi besar-besaran sedang dijalankan untuk memburu pihak bertanggungjawab dan menegaskan tiada ruang toleransi terhadap sebarang bentuk keganasan di bumi Papua.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button