
66 kanak-kanak Gaza maut akibat kebuluran, UNICEF dan PBB didesak bertindak
GAZA – Sekurang-kurangnya 66 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan di sini sejak bermulanya perang yang dilancarkan oleh Israel, menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza.
Mereka mengecam tindakan Israel yang mengetatkan sekatan, menghalang kemasukan susu, makanan tambahan dan bantuan kemanusiaan, menurut laporan Al Jazeera.
Pejabat media menyifatkan sekatan makanan sebagai ‘jenayah perang’ dan menuduh Israel menggunakan ‘kelaparan sebagai senjata untuk memusnahkan orang awam’.

Mereka mengecam ‘jenayah berterusan terhadap zaman kanak-kanak di Gaza’ serta ‘kesenyapan masyarakat antarabangsa terhadap penderitaan kanak-kanak yang kelaparan dan sakit’.
Mereka juga menegaskan Israel dan sekutunya seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Jerman bertanggungjawab atas bencana kemanusiaan ini serta mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera membuka pintu sempadan Gaza bagi membolehkan bantuan masuk.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa bilangan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan meningkat pada kadar yang membimbangkan.
“Dalam hanya 150 hari pertama tahun ini, seramai 16,736 kanak-kanak (purata 112 sehari) telah dimasukkan ke pusat rawatan akibat kekurangan zat makanan di Gaza,” kata Pengarah Serantau UNICEF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Edouard Beigbeder.
“Setiap satu kes ini boleh dicegah. Makanan, air dan rawatan yang mereka perlukan sedang dihalang daripada sampai kepada mereka.
“Ini adalah keputusan buatan manusia yang meragut nyawa. Israel mesti segera membenarkan penghantaran bantuan berskala besar melalui semua lintasan sempadan,” tegas beliau.
Dalam masa yang sama, serangan udara Israel yang semakin sengit telah membunuh sekurang-kurangnya 60 penduduk Palestin, termasuk 20 orang di kejiranan Tuffah, Bandar Gaza. Sembilan daripada mangsa adalah kanak-kanak.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |