LUAR NEGARA

23 maut dalam letupan silinder gas di kelab malam popular di Goa

GOA – Sekurang-kurangnya 23 orang terkorban dalam satu insiden letupan silinder gas yang mencetuskan kebakaran besar di sebuah kelab malam popular di negeri Goa, menurut pegawai dan laporan media tempatan.

Kebakaran itu dilaporkan berlaku sekitar tengah malam tadi di sebuah premis di perkampungan Arpora, daerah Goa Utara, lapor Press Trust of India (PTI) yang memetik sumber polis dan pegawai kerajaan.

Ketua Menteri Goa, Pramod Sawant berkata, mangsa terdiri daripada beberapa pelancong serta ramai pekerja dapur yang berada di lokasi ketika kejadian.

“Hari ini adalah hari yang sangat menyedihkan untuk rakyat Goa. Insiden kebakaran besar di Arpora telah meragut 23 nyawa,” kata beliau dalam hantaran di platform X.

Sawant yang meninjau lokasi kejadian turut mengarahkan siasatan penuh dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai.

Kebakaran kelab malam Goa
Tiga mangsa meninggal dunia akibat melecur dalam kejadian kebakaran di kelab malam tersebut. – Foto Al Jazeera

Gambar dan video yang tular di media sosial menunjukkan pasukan penyelamat membawa mangsa ke dalam kenderaan kecemasan, selain bola api besar dan asap tebal menjulang dari bangunan rendah yang menempatkan kelab malam tersebut.

Sawant memaklumkan kepada pemberita bahawa antara mangsa yang maut ialah tiga hingga empat pelancong.

Menurutnya, tiga mangsa meninggal dunia akibat kecederaan melecur manakala selebihnya maut akibat sesak nafas. Sekurang-kurangnya tiga daripada mangsa adalah wanita.

PTI yang memetik kenyataan polis melaporkan kebakaran itu berpunca daripada letupan silinder gas manakala agensi berita ANI memaklumkan api sudah berjaya dikawal.

Ketua Polis Goa, Alok Kumar mengesahkan semua mayat mangsa telah ditemui.

Goa merupakan sebuah negeri bekas koloni Portugis yang terletak di pesisir Laut Arab, terkenal sebagai destinasi pelancongan dengan kehidupan malam, pantai berpasir dan suasana santai yang menarik jutaan pelancong setiap tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button