Negara anggotai Lembaga Keamanan bagi Gaza perlu sumbang AS$1 bilion jika mahu keanggotaan dikekalkan lebih 3 tahun
WASHINGTON – Negara yang menganggotai Lembaga Keamanan bagi Gaza tajaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan bakal diminta menyumbang sebanyak AS$1 bilion (RM4.42 bilion) sekiranya mahu mengekalkan keahlian mereka bagi tempoh melebihi tiga tahun.
Menurut Bloomberg News, syarat itu terkandung dalam draf dokumen keanggotaan berkenaan.
”Setiap negara anggota hendaklah berkhidmat bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh piagam ini berkuat kuasa, tertakluk kepada pembaharuan oleh Pengerusi,” kata laporan tersebut.
Tempoh tiga tahun berkenaan bagaimanapun tidak terpakai kepada negara anggota yang menyumbang lebih daripada AS$1 bilion dalam bentuk dana tunai kepada Lembaga Keamanan dalam tahun pertama Piagam berkenaan.
Menurut draf terbabit, seperti yang dilaporkan Bloomberg News, Trump akan berkhidmat sebagai pengerusi lembaga berkenaan dan akan memutuskan siapa yang dijemput untuk menjadi ahli.
Walaupun keputusan akan diambil berdasarkan majoriti dengan setiap negara anggota yang hadir diberikan satu undi, semua keputusan adalah tertakluk kepada kelulusan pengerusi.
Draf itu juga dilaporkan mencadangkan, Trump sendiri akan mengawal dana berkenaan yang didakwa akan disalurkan untuk pembinaan semula Gaza.
Lembaga itu akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali setahun dan pada masa serta lokasi tambahan lain yang dianggap sesuai oleh pengerusi, menurut draf piagam itu.
Trump yang juga pengerusi lembaga itu akan meluluskan agenda bagi setiap mesyuarat.
“Pengerusi hendaklah pada setiap masa melantik pengganti bagi peranan pengerusi,” lapor piagam itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







