Lelaki miliki 31 rekod jenayah langgar 5 kenderaan di KLIA ketika lari dari polis
SEPANG – Seorang lelaki bertindak melanggar lima kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada pihak polis dalam kejadian di laluan Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, suspek yang memandu sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna merah enggan berhenti ketika diarahkan anggota peronda polis (MPV) untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Ravi Munusamy berkata, anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan KLIA cuba menahan kenderaan tersebut sebelum suspek bertindak melarikan diri.
“Suspek memandu ke arah laluan Terminal Aras 3 KLIA dan melanggar lima buah kenderaan awam yang berada di laluan tersebut dalam usaha meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, suspek bagaimanapun berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian.
Hasil semakan mendapati lelaki tempatan berusia 30 tahun itu mempunyai 31 rekod jenayah lampau serta satu rekod kesalahan dadah yang masih dikehendaki.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya serta kesalahan trafik.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini bagi tujuan permohonan tahanan reman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
