Lebih 15,000 akaun palsu guna nama kerabat diraja dikesan
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendedahkan terdapat 15,296 akaun palsu yang menggunakan nama 26 kerabat diraja dikenal pasti sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 14,750 akaun telah berjaya diturunkan oleh penyedia platform media sosial susulan permohonan yang dibuat pihak berkuasa.
Fahmi berkata, beliau turut mempersembahkan perkembangan pelaksanaan sistem pengesahan identiti secara elektronik (e-KYC) yang dilihat mampu memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan institusi keluarga dalam persekitaran digital.
Menurut beliau, akaun palsu berkenaan turut membabitkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Perkara itu dimaklumkan kepada Sultan Selangor ketika beliau menghadap baginda hari ini bagi mempersembahkan laporan terkini berhubung tindakan penurunan akaun palsu yang melibatkan kerabat diraja
“Patik menjunjung kasih atas pandangan, titah dan nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan pelbagai isu semasa khususnya penyalahgunaan platform dalam talian serta isu 3R melibatkan agama, kaum dan institusi diraja yang semakin membimbangkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, Sultan Selangor turut menzahirkan kebimbangan terhadap pelbagai isu semasa yang tular di media sosial termasuk pendekatan serta kaedah digunakan pihak berkuasa dalam menanganinya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




