BERITA SEMASADALAM NEGERI

Lawatan sulung Pengakap Macau kukuh persahabatan dengan Malaysia

KUALA LUMPUR – Lawatan julung kali The Scout Association of Macau ke Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia di Kuala Lumpur hari ini, membuka lembaran baharu dalam persahabatan dua organisasi kepengakapan terbabit.

Ketibaan delegasi dari Macau itu disambut mesra oleh wakil Persekutuan Pengakap Malaysia diketuai Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shazilly Ismail Bakti. Hadir sama, Pesuruhjaya Antarabangsa, Norma Noordin.

Barisan delegasi Pengakap Macau bergambar bersama Pengakap Malaysia sebagai kenangan lawatan tersebut.

Dalam ucapannya, Ahmad Shazilly melahirkan rasa gembira atas kesudian delegasi Macau berkunjung ke Malaysia serta berharap lawatan itu dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin.

“Kami amat berbesar hati menerima kunjungan anda hari ini dan berharap pertukaran ini akan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua organisasi kita.

“Terima kasih kerana meluangkan masa bersama kami dan saya harap kita dapat manfaatkan peluang ini untuk lebih mengenali antara satu sama lain,” ujar beliau.

Sesi kemudian diteruskan dengan ucapan daripada Ketua Pesuruhjaya The Scout Association of Macau, Chau Seng Chon yang memperkenalkan latar belakang pertubuhan mereka serta menzahirkan penghargaan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia yang dianggap sebagai ‘abang besar’ dalam dunia kepengakapan serantau.

“Pengalaman kejayaan anda menjadi inspirasi dan model terbaik buat kami. Saya berharap ini akan menjadi permulaan kepada satu bab baharu dalam persahabatan kita,” ujar beliau.

Ditubuhkan pada tahun 1983, The Scout Association of Macau kini merupakan pertubuhan belia terbesar di negara itu dengan anggaran keahlian dianggarkan seramai 5,000 orang.

Lawatan julung kali ini diharap menjadi titik mula untuk hubungan erat antara Pengakap Malaysia-Macau.

Pertubuhan tersebut terdiri daripada 42 kumpulan Pengakap yang berasaskan komuniti, sekolah dan organisasi.

Dalam semangat memperkukuh hubungan serantau, Seng Chon turut mengutarakan hasrat untuk memperluas bentuk komunikasi dan pertukaran bukan sahaja pada peringkat pengurusan tetapi juga di peringkat akar umbi.

“Saya berharap kumpulan-kumpulan Pengakap di Macau dan Malaysia dapat saling mengadakan lawatan serta pertukaran pengalaman dengan sokongan pegawai hubungan antarabangsa kedua-dua pihak,” tambah beliau.

Menyentuh hubungan rapat antara kedua-dua organisasi, Seng Chon secara berseloroh berkata bahawa Malaysia dan Macau sering duduk bersebelahan dalam persidangan peringkat serantau dan antarabangsa.

“Saya harap mulai hari ini, kita bukan sahaja duduk bersama tetapi berdiri bersama, mengukuhkan lagi semangat persahabatan kita,” katanya.

Majlis diakhiri dengan acara pertukaran cenderamata antara delegasi kedua-dua negara sebagai simbolik penghargaan dan jalinan kerjasama yang erat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button