BERITA SEMASA

Lapan helikopter baharu PUTD dijangka tiba mulai Ogos depan

KUALA LUMPUR – Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dijadualkan menerima lapan buah helikopter yang dijangka tiba dan beroperasi secara berperingkat bermula Ogos tahun hadapan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata, helikopter yang bakal diterima itu merangkumi empat pesawat AW 149 yang disewa secara pajakan bagi tempoh 15 tahun, manakala empat lagi helikopter kombat utiliti yang disewa selama lima tahun melalui kaedah tender terbuka.

“Ia (akan ditender semula) kerana kontrak sewaan membabitkan pesawat (Black Hawk) sebelum ini, terbatal.

“Tentera Darat juga sedang melaksanakan perolehan Meriam 155 milimeter Self-Propelled Howitzer (SPH) bagi meningkatkan keupayaan tembakan domain daratan, dijangka memasuki perkhidmatan tahun depan,” katanya pada sidang media Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-93 bertemakan ‘Kemahuan untuk Menang: Pemangkin Keperkasaan Tentera Darat’ di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Azhan seterusnya berkata, Tentera Darat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melalui fasa transformasi holistik bagi memenuhi keperluan masa hadapan domain daratan.

Evolusi berkenaan, katanya, menuntut Tentera Darat membangunkan keupayaan bagi memiliki postur yang kredibel, tangkas dan tuntas, selain struktur bersifat modular, berbahaya serta boleh diletak atur.

Beliau berkata, halu tuju jelas itu akan membentuk angkatan yang komersional serta bersedia menghadapi cabaran keselamatan semakin kompleks, membabitkan ancaman hibrid, peperangan pelbagai domain serta ketidaktentuan geopolitik serantau.

Mengenai aspek keselamatan dan kedaulatan negara, Azhan berkata, Tentera Darat komited memperkukuh keselamatan sempadan negara dengan kehadiran trup di sepanjang perbatasan antarabangsa negara.

Selain itu, katanya, keseluruhan pos sempadan sudah dan sedang dinaik taraf dan dilengkapi aset terkini seperti dron dan alatan optronik, bertujuan memastikan aspek kebajikan dan keselesaan anggota ketika operasi.

“Di peringkat antarabangsa, Tentera Darat akan terus memacu usaha memperkasa kerjasama serantau dan global,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button