KPWKM siasat dakwaan salah urus dana di PPDK Taman Wahyu
PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menangguhkan penyaluran geran kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Taman Wahyu di Kuala Lumpur susulan siasatan berhubung dakwaan ketidakpatuhan dalam pengurusan dana serta isu keselamatan melibatkan pelatih.
Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan telah dijalankan oleh Pasukan Inspektorat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 4 Disember lalu, susulan aduan awal mengikut Tatacara Pengurusan Kehilangan dan Hapuskira Wang Awam WP10.3.
Menurut kenyataan tersebut, langkah menangguhkan geran bagi sesi 2026/2027 dibuat sebagai langkah pencegahan bagi memastikan integriti pengurusan dana awam terus terpelihara sehingga keputusan siasatan muktamad diperoleh.
Dalam pada itu, siasatan awal turut mendapati wujud unsur kecuaian yang boleh menjejaskan keselamatan pelatih, termasuk satu insiden yang berlaku pada 11 Mac lalu.
“Sehubungan itu, petugas terlibat telah direhatkan sementara bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Terdahulu, isu berkenaan tular di media sosial selepas seorang pengguna aplikasi Threads mendakwa bantuan kewangan berjumlah RM500 untuk anaknya yang juga pelatih Orang Kurang Upaya masih belum disalurkan.
Wanita itu turut membuat laporan polis dan mendakwa anaknya mengalami kecederaan selepas terjatuh daripada kerusi sorong, dipercayai akibat ditinggalkan tanpa pengawasan oleh petugas di pusat berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















