BERITA SEMASA

Konflik Asia Barat: KPDN jamin bekalan barangan keperluan mencukupi

KUCHING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas termasuk minyak masak di negara ini masih mencukupi meskipun konflik di Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada pasaran global.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan situasi geopolitik tersebut tidak mencetuskan kenaikan harga luar biasa dalam pasaran tempatan.

Menurut beliau, KPDN melaksanakan Ops Pantau secara berterusan di seluruh negara bagi memantau harga dan bekalan barangan di peringkat pemborong serta peruncit.

“Kita akan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya terdapat kenaikan harga yang tidak munasabah.

“Walaupun kos pengangkutan mungkin meningkat, ia tidak bermakna harga boleh dinaikkan sesuka hati,” katanya ketika lawatan kerja rasmi, di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, kementerian belum menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga luar biasa susulan konflik berkenaan.

Selain itu, pemborong dan peruncit dilaporkan masih mempunyai stok barangan mencukupi untuk tempoh kira-kira dua bulan.

“Keadaan masih terkawal dan kita akan terus memantau supaya pengguna tidak terbeban,” katanya memetik laporan BH Online.

Fuziah menambah, kerajaan turut melaksanakan langkah berjaga-jaga di pelbagai peringkat bagi memastikan kestabilan ekonomi negara serta kebajikan rakyat terus terpelihara sekiranya keadaan global bertambah buruk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button