Kilang perabot haram tumpas, PGA rampas mesin dan produk hampir RM735,000
IPOH – Tindakan sebuah kilang perabot yang beroperasi tanpa lesen akhirnya terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu dengan nilai rampasan mencecah RM735,000 di Kawasan Perindustrian Meil, di sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menerusi Op Bersepadu Khazanah bersama Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asistan Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, operasi dijalankan hasil risikan yang mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembuatan perabot tanpa lesen sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen untuk mendirikan dan mengendalikan kilang perabot seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1987 Negeri Perak,” katanya dalam kenyataan.
Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang dipercayai pemilik premis ditahan bagi membantu siasatan.
Turut dirampas pelbagai mesin dan peralatan pemprosesan kayu, selain papan plywood serta perabot separa siap.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM734,990.
Kes berkenaan diserahkan kepada Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1987 Negeri Perak.
Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, MPKK turut mengeluarkan dua kompaun terhadap pemilik premis atas kesalahan tidak mempamerkan papan tanda iklan perniagaan dan gagal memiliki lesen perniagaan.
Balveer Singh menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti industri berasaskan kayu yang beroperasi tanpa kelulusan sah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan kilang perabot tanpa lesen diminta menyalurkan maklumat kepada Briged Utara PGA supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
