Ketua Hakim Negara ketuai senarai penerima darjah kebesaran Melaka
AYER KEROH – Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.
Wan Ahmad adalah penerima tunggal Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, lapor BH Online hari ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Seri Mohd Nizam Jaafar antara penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Dalam sesi pertama hari ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Azhar Arshad mendahului senarai penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) membawa gelaran Datuk Wira.
Penerima lain, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin; Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Plaza Premium Lounge, Datuk Wira Song Hoi See.
Selain itu, CEO SME Development Bank Malaysia, Datuk Wira Mohammad Hardee SN Ibrahim; Pengerusi Badan Amal Kasih Ibu Putrajaya, Datuk Seri Anggraini Sentiyaki; ahli perniagaan, Datuk Wira Hii Toh Ling; Datuk Wira Ilaia Raja Sagadewan serta Datuk Wira Shamsuri Abdul Majid.
Istiadat penganugerahan itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum.
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Shahnaz Sulaiman mengetuai senarai penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk, selain Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai; Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.
Turut menerima DMSM, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Mohd Rafiq Mat Razali; Pensyarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Madya Datuk Dr Mohd Shahrir Mohd Sani; Presiden dan CEO Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Khairul Kamarudin.
Selain itu, Pengarah MSR Green Energy Sdn Bhd, Datuk Tarminder Singh Balwant Singh dan pengasas Les’ Copaque Production Sdn Bhd yang menerbitkan kartun animasi Upin Ipin, Datuk Burhanuddin Md Radzi.
Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada Duta Besar Malaysia ke Algeria, Datuk Rizany Irwan Muhamad Mazlan; Penasihat Undang-undang Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abd Azis dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi.
Penerima lain, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan III, Jabatan Peguam Negara, Datuk Kamal Baharin Omar; Ketua Jurulatih merangkap Presiden Kelab Bola Sepak Melaka (Melaka FC), Datuk K Devan; Pengarah Eksekutif Cendana Auto Sdn Bhd, Datuk Abdul Rauf Nassiruddin serta Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.
Turut menerima DPSM adalah pelakon dan model China yang juga Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing.
Seramai 52 penerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM) tersenarai untuk sesi pertama, diikuti 66 penerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 44 penerima Pingat Jaksa Kebaktian (PJK), 40 penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan dua Pingat Khidmat Lama (PKL).
Pengamal media Melaka turut menerima pingat kebesaran membabitkan BKT kepada wartawan sambilan Utusan Malaysia, Amran Mulup; wakil Rangkaian TV Media Prima Melaka, Mahdi Ab Manaf; wartawan Makkal Osai, R Malini dan wartawan Sin Chew Jit Poh, You Jia Yong.
Selain itu, wartawan RTM Melaka, Nurul Ashikin Abdul Halim; wartawan sambilan BERNAMA Melaka, Rashidah Abd Rahim; Pengarang Kanan Melaka Hari Ini (MHI), Mohamad Fazrul Abdul Majid dan Pengarang Kandungan Melaka TV, Mohamad Faris Haikal Zakaria.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


