JENAYAH & MAHKAMAH

Kes bunuh penuntut universiti di Cyberjaya: 3 termasuk dua wanita diberkas

SEPANG – Tiga individu termasuk dua wanita ditahan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang penuntut universiti di Cyberjaya kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sekitar Johor Bahru dan Gemencheh, Negeri Sembilan, bermula jam 9 pagi semalam hingga 2 pagi ini.

Katanya, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 19 hingga 20 tahun. dan tangkapan dilakukan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima.

“Kesemua suspek akan dipohon tahanan reman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, polis berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan.

Sebelum itu, polis menerima laporan berhubung kes berkenaan pada jam 10.28 pagi, Selasa lalu, berhubung penemuan mayat seorang penuntut wanita sebuah universiti di unit kediamannya di Cyberjaya.

Hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati tiada kesan pecah masuk di unit kediaman mangsa yang berusia 20 tahun itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button