BERITA SEMASA

Kerajaan, UPSI perlu serius aspek keselamatan pelajar – Dr. Zulkifli

GERIK – Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru kerajaan, pihak berkuasa dan pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan pelajar ketika dalam perjalanan.

Beliau berkata demikian susulan kemalangan tragis yang membabitkan bas yang membawa penuntut institusi berkenaan di Lebuh Raya Timur Barat dekat Tasik Banding, semalam.

Dalam kejadian itu, 15 orang pelajar UPSI dilaporkan terkorban apabila bas dari Jertih, Terengganu itu terbabas dan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.

“Saya menyeru pihak kerajaan, pihak berkuasa serta pengurusan UPSI untuk memberi perhatian serius kepada insiden ini.

“Semoga ia menjadi peringatan agar aspek keselamatan pelajar di jalan raya dan perjalanan terus diperkasakan, demi mengelak tragedi sebegini berulang,” katanya menerusi satu hantaran di laman X.

Dr. Zulkifli turut menzahirkan rasa sedih dan terkejut terhadap kejadian tersebut, selain merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban.

“Saya amat sedih dan terkejut menerima berita kemalangan tragis bas charter dengan sebuah Perodua Alza yang melibatkan pelajar-pelajar UPSI berhampiran Tasik Banding pagi tadi.

“Saya merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

“Semoga Allah SWT memberi ketabahan dan kesabaran kepada ibu bapa, keluarga serta warga UPSI,” katanya.

Beliau turut mendoakan kesembuhan segera buat mangsa yang masih dirawat serta menyeru agar mereka terus tabah menghadapi dugaan.

“Kepada mereka yang sedang menerima rawatan, semoga Allah SWT segera menyembuhkan dan mengembalikan kesihatan mereka.

“Semoga mereka juga terus redha dan tetap kuat menghadapi dugaan ini,” katanya lagi.

Beliau turut mengajak orang ramai agar terus mendoakan dan memberi sokongan moral serta fizikal kepada mangsa yang terlibat.

“Marilah kita sama-sama memanjatkan doa buat mereka yang telah kembali ke rahmatullah dan terus membantu mangsa yang cedera dari segi sokongan fizikal dan mental.

“Semoga roh-roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di tempat yang mulia di sisi Allah SWT,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button