BERITA SEMASA

Kerajaan umum BSH RM300 sebulan untuk veteran tidak berpencen

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperluaskan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan kepada veteran tidak berpencen pada usia 60 tahun berkuat kuasa September depan.

Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan, langkah itu diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri hari ini.

“Pemanjangan BSH ini akan berkuat kuasa pada bulan September 2023 dan akan memberi faedah kepada seramai 41,970 veteran tidak berpencen dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Sebelum ini, BSH RM300 sebulan hanya dinikmati veteran tidak berpunca pada usia 80 tahun.

Dalam pada itu, Mohd Zuki menyifatkan pemanjangan BSH kepada veteran pada usia 60 tahun ini adalah kesinambungan keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam.

“Selain daripada insentif yang berbentuk kewangan, kebajikan veteran ATM juga dititikberatkan oleh kerajaan untuk diberi keutamaan jawatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam bersesuaian dengan pengalaman dan kemahiran mereka semasa dalam perkhidmatan ATM,” jelas beliau.

Kali terakhir semakan Skim Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan pada tahun 2001 dan penambahbaikan gaji tidak dibuat sejak tahun 2013.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan langkah semakan semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button