Kejohanan golf amal PEKEMA tarik penyertaan hampir 500 pemain
PUTRAJAYA – Hampir 500 peserta memeriahkan kejohanan berprestij Kejohanan Golf Amal Piala Presiden PEKEMA 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Palm Garden Golf Club di sini.
Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, lebih istimewa selepas lebih sedekad mencipta tradisi di Sabah, kejohanan berprestij itu kini melakar sejarah baharu apabila dianjurkan di Semenanjung.
Beliau berkata, kejohanan yang memasuki edisi ke-11 itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM500,000 termasuk kereta elektrik Dongfeng BOX sebagai hadiah utama hole-in-one.
“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan golf semata-mata, sebaliknya platform penting bagi memperkukuhkan jaringan industri serta melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“PEKEMA Charity Golf merupakan jambatan yang menghubungkan usahawan, pemimpin industri dan agensi kerajaan.
“Melalui dana yang dikumpulkan, PEKEMA akan menyalurkan sumbangan kepada rumah kebajikan dan golongan memerlukan selain membiayai pelbagai inisiatif pembangunan komuniti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan itu di Palm Garden Golf Club, di sini, hari ini.

Kejohanan itu menghimpunkan hampir 500 pemain golf amatur dari seluruh negara sekali gus menjadikannya antara kejohanan golf amatur terbesar di Malaysia tahun ini.
Kejohanan kali ini menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk kereta elektrik Dongfeng BOX untuk Hole-in-One (Lubang 7, 12, 14 & 17) dan wang tunai RM28,888 (Lubang 2).
Selain itu, turut ditawarkan ialah hadiah Grand Lucky Draw bernilai RM20,000, RM5,000 dan RM3,000 serta hadiah kategori Medal A, B, C, Ladies dan Senior dan Novelty Prizes iaitu Nearest to Pin, Longest Drive, Nearest to the Line.
Selain itu, setiap peserta turut menerima goodie bag eksklusif bernilai RM500 sebagai tanda penghargaan.
Sementara itu, Timbalan Presiden PEKEMA, Datuk Wan Sazrudeen Wan Zaid berkata, acara itu mencerminkan nilai-nilai murni PEKEMA dalam menggabungkan keusahawanan, teknologi automotif dan keprihatinan sosial.
“Kami percaya kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat mampu bergerak seiring. Kejohanan ini menjadi bukti bahawa sukan juga boleh menjadi wadah kebajikan,” katanya.

Kejohanan ini turut mendapat sokongan penaja korporat terkemuka dari dalam dan luar negara termasuk TOA Trading Co. Ltd, Cuscapi Solutions Sdn Bhd, Toyota Laser Motor Group, Heiwa Auto Co. Ltd, Trendy Information Co. Ltd, Maybank, Allianz General Insurance, Bank Simpanan Nasional (BSN), Taisei Shoukai Co., Ltd., UTEX Corporation, Northport, Dagang Net Technologies, Farm Fresh dan banyak lagi.
Sejak dianjurkan pada 2006, PEKEMA Charity Golf telah sinonim dengan semangat keusahawanan dan kebajikan.
Kesemua edisi terdahulu berlangsung di Sabah, negeri kelahiran kejohanan ini, sebelum berkembang pada 2024 dengan penglibatan peserta dari Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.
Tahun ini, dengan lokasi baharu di Putrajaya, penganjuran telah membuka ruang lebih luas kepada penyertaan pemain dari seluruh negara serta antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan PEKEMA Charity Golf sebagai platform kebajikan bertaraf serantau.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dan sumbangan daripada Yayasan PEKEMA kepada 10 orang artis Karyawan dan badan-badan kebajikan yang terpilih akan diadakan pada Ahad ini di Putrajaya Marriott Hotel, dijangka menjadi kemuncak kepada acara.
Antara artis Karyawan yang akan menerima sumbangan termasuk Jalil Hamid, Wan Maimunah, Sathiya, Amir Raja Lawak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
