Kanak-kanak 10 tahun cedera dipatuk ular senduk ketika tidur
KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun cedera selepas dipatuk ular senduk ketika sedang tidur di rumahnya di Kampung Teluk Belangga, Sering, di sini, awal pagi kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu, Mejar Saiful Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa dipercayai dipatuk seekor ular senduk ketika tidur di dalam bilik bersama tiga orang adik-beradiknya.
Beliau berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Kota Bharu menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 12.58 tengah malam.
“Mangsa tersedar selepas merasakan sakit pada bahagian tangan sebelum segera memaklumkan kejadian tersebut kepada ibunya.
“Menurut ibu mangsa, suaminya sempat melihat seekor ular berwarna hitam bersembunyi di sebalik selimut sejurus kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa segera ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Sepasukan anggota APM yang diketuai oleh Lokman Mamat telah digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 1.22 pagi. Anggota mengambil masa kira-kira lima minit sebelum berjaya menangkap ular berkenaan,” katanya.
Katanya, ular tersebut seterusnya dibawa ke HPUSM bagi tujuan tindakan lanjut oleh pihak hospital.

Sehubungan itu katanya, pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap ancaman ular dengan memastikan kebersihan kawasan rumah sentiasa terjaga, menutup sebarang ruang yang berpotensi menjadi tempat persembunyian haiwan berbisa serta meningkatkan tahap berhati-hati khususnya pada waktu malam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
