Kami tidak mahu berperang dengan AS – Mojtaba Khamenei
TEHRAN – Iran menegaskan negara itu tidak pernah mahukan peperangan meskipun ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terus memuncak, kata pemimpin tertinggi negara itu, Mojtaba Khamenei.
Menurut beliau, republik Islam itu tidak mencari konflik bersenjata namun tetap bertegas mempertahankan haknya sebagai sebuah negara berdaulat.
“Kami tidak mencari peperangan dan kami tidak mahukannya. Namun, kami tidak akan melepaskan hak kami walau apa pun keadaan,” katanya dalam mesej yang disiarkan menerusi televisyen kerajaan.
Kenyataan itu dibuat beberapa minggu selepas kematian bapanya, Ali Khamenei, yang terbunuh pada 28 Februari, hari pertama peperangan tercetus.
Dalam pada itu, Mojtaba menegaskan Iran melihat keseluruhan barisan penentangan sebagai satu entiti, merujuk kepada konflik di Lubnan yang melibatkan sekutu Tehran, Hizbullah dengan Israel.
Perkembangan itu berlaku ketika Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu dengan AS, yang berpotensi membuka laluan kepada rundingan damai susulan ancaman keras daripada Presiden AS, Donald Trump.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat Iran supaya tidak leka meskipun gencatan senjata diumumkan, sebaliknya terus menunjukkan sokongan di ruang awam.
“Suara anda di dataran awam pastinya berpengaruh dalam hasil rundingan itu,” katanya.
Mojtaba yang dilaporkan mungkin cedera dalam serangan yang meragut nyawa bapanya itu masih belum muncul di khalayak ramai sejak dilantik menerajui kepimpinan negara.
Setakat ini, beliau hanya mengeluarkan kenyataan bertulis yang dibacakan oleh penyampai televisyen kerajaan, manakala pihak berkuasa Iran memaklumkan beliau sedang pulih daripada kecederaan.
Dalam masa sama, Trump sebelum ini turut membuat spekulasi bahawa Mojtaba mungkin telah meninggal dunia, namun televisyen kerajaan Iran menyiarkan beberapa gambar beliau tanpa menyatakan tarikh rakaman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















