Kadar penggunaan CRS masih rendah walau diwajibkan sejak 2020
KUALA LUMPUR – Kadar penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di Malaysia masih rendah dengan hanya mencatat 30 peratus pada 2022 walaupun telah diwajibkan sejak 1 Januari 2020.
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), penggunaan CRS adalah salah satu langkah penting untuk melindungi kanak-kanak dalam sebarang kemalangan.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh 10 tahun (2014-2023), katanya, purata kanak-kanak terkorban akibat kemalangan jalan raya ialah 434 orang setahun atau bersamaan lapan kanak-kanak setiap minggu.
“Oleh kerana kemalangan jalan raya tidak dapat dijangka dan boleh berlaku pada bila-bila masa, ibu bapa dan juga penjaga disaran sentiasa menggunakan CRS sebagai langkah keselamatan utama yang terbukti mampu mengurangkan risiko kecederaan serta kematian kanak-kanak.
“Penggunaan CRS yang dipasang dengan betul dan sesuai dengan ketinggian serta berat badan kanak-kanak, terbukti dapat mengurangkan risiko kematian penumpang berumur antara kosong hingga empat tahun sebanyak 54 hingga 71 peratus,” kata MIROS dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, MIROS meminta ibu bapa dan penjaga supaya memastikan setiap perjalanan bersama kanak-kanak sentiasa menggunakan CRS yang mematuhi piawaian dan dipasang dengan betul.
Selain itu, MIROS turut menggesa semua pihak termasuk pembuat dasar, penguat kuasa undang-undang dan pihak industri supaya terus memperkukuhkan usaha advokasi, pendidikan serta penguatkuasaan penggunaan CRS di Malaysia.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kecederaan dan kematian kanak-kanak di jalan raya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


