BERITA SEMASA

Kad fizikal lesen memandu boleh dicetak tanpa bukti ke luar negara mulai 23 Januari

PUTRAJAYA – Orang ramai kini boleh memohon kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LMM) tanpa perlu mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara berkuat kuasa 23 Januari ini, selaras usaha mengurangkan karenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan maklum balas diterima daripada rakyat, khususnya pemandu yang memerlukan kad fizikal lesen memandu bagi kegunaan tertentu, termasuk ketika berada di luar negara.

Menurut MOT, sejak dasar LMM digital diperkenalkan pada Februari 2023, jumlah pengguna aplikasi MyJPJ telah mencecah 13 juta, sekali gus mencerminkan penerimaan meluas masyarakat terhadap inisiatif pendigitalan kerajaan.

Trend berkenaan disifatkan amat menggalakkan apabila pengguna mula menyesuaikan diri dengan konsep digital sebagai pilihan lebih mudah, termasuk pembaharuan lesen secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun, kementerian berkata, permintaan terhadap kad fizikal masih wujud dalam kalangan sebahagian rakyat Malaysia. Sehubungan itu, JPJ diarahkan supaya tidak lagi mensyaratkan sebarang bukti keluar negara bagi permohonan cetakan kad fizikal LMM.

Bermula tarikh kuat kuasa tersebut, cetakan kad fizikal LMM boleh dibuat di semua kaunter JPJ dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara, dengan kadar fi ditetapkan sebanyak RM20 bagi warganegara Malaysia dan RM100 bagi bukan warganegara.

MOT turut memaklumkan bahawa dasar sedia ada yang membenarkan kumpulan sasar tertentu mendapatkan kad fizikal LMM secara percuma akan terus dikekalkan, termasuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang lesen kelas A1 dan A, serta pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam pada itu, pemandu yang memilih untuk terus menggunakan LMM digital masih boleh mengakses lesen memandu mereka secara percuma melalui aplikasi MyJPJ dan memperbaharuinya tanpa perlu ke mana-mana pejabat.

MOT dan JPJ menegaskan komitmen untuk terus menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menggalakkan orang ramai memanfaatkan sepenuhnya kemudahan Lesen Memandu Digital bagi pengalaman yang lebih mudah, pantas dan lancar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button