Langgar peraturan Antartika, remaja juruterbang AS kini dalam siasatan
WASHINGTON – Misi seorang remaja juruterbang Amerika Syarikat mencipta rekod dunia tergendala apabila dia ditahan pihak berkuasa Chile di Pulau King George, Antartika.
Remaja dikenali sebagai Ethan Guo, 19, ditahan selepas didakwa mengemukakan pelan penerbangan yang tidak sah kepada pihak Direktorat Am Aeronautik Awam Chile.
Menurut kenyataan agensi itu, Guo menyimpang jauh daripada laluan yang diluluskan, hingga mencetuskan protokol kecemasan sebelum pesawatnya mendarat di kawasan yang tertakluk di bawah Perjanjian Antartika.
“Pesawat terbabit mendarat di zon yang tidak dibenarkan, sekali gus melanggar peraturan antarabangsa yang melindungi wilayah Antartika.
“Guo mendarat di lapangan terbang Teniente R. Marsh, lokasi yang menempatkan beberapa stesen penyelidikan milik negara-negara bersekutu,” jelasnya.
Pulau King George merupakan sebahagian daripada zon Antartika yang tertakluk kepada kawalan ketat berkaitan keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.
Difahamkan, Guo menerbangkan pesawat jenis Cessna 182 dari Punta Arenas di selatan Chile, namun pelan asal hanya membenarkan penerbangan di sekitar ruang udara tempatan.
“Tindakan menyimpang daripada laluan itu membawa kepada dakwaan pelanggaran dua peruntukan di bawah Kod Aeronautik Chile, termasuk satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara jangka pendek,” jelasnya.
Menurut Pendakwa wilayah, Cristian Cristoso Rifo, tindakan itu membabitkan pelanggaran terhadap Perjanjian Antartika yang mengehadkan sebarang aktiviti persendirian tanpa kebenaran rasmi.
Susulan insiden itu, Guo disiasat lanjut oleh pihak Chile dan berdepan kemungkinan tindakan undang- undang, meskipun tiada insiden kecemasan fizikal berlaku semasa pendaratan.
Remaja itu sebelum ini dilaporkan menamatkan penerbangan ke enam benua dalam tempoh lebih 140 hari menggunakan pesawat ringan jenis Cessna, sebagai sebahagian daripada misinya mencipta rekod dunia.
Misi itu bertujuan mengumpul dana sebanyak AS$1 juta (RM4.2 juta) bagi menyokong penyelidikan barah kanak-kanak di Hospital Penyelidikan St. Jude, Tennessee.
Setakat ini, belum ada sebarang pengesahan rasmi sama ada Guo akan dibenarkan meneruskan penerbangannya atau dihantar pulang ke Amerika Syarikat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
