JPJ sita 18 van sekolah haram di Negeri Sembilan
SEREMBAN – Segelintir pengusaha kenderaan sekolah di negeri ini dikesan menjalankan operasi tanpa permit sah termasuk mengubah suai van persendirian menjadi van sekolah, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan.
Perkara itu terbongkar menerusi Operasi Van Haram yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di beberapa daerah utama, semalam.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, operasi yang dijalankan pada pukul 5 pagi hingga 3 petang itu mendedahkan sebanyak 26 van beroperasi tanpa permit yang sah.
“Operasi ini adalah tindak balas kepada aduan awam dan hasil risikan mengenai peningkatan penggunaan van persendirian untuk tujuan komersial, terutamanya bagi mengambil dan menghantar pelajar sekolah.
“Aktiviti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan penumpang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas 57 kenderaan yang disyaki beroperasi sebagai van haram telah dilakukan di beberapa lokasi termasuk di Seremban, Rembau, Kuala Pilah dan Jempol.
“Hasil operasi, sebanyak 55 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 18 van disita mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Antara kesalahan utama yang direkodkan ialah penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dengan 26 kes, diikuti 10 kes LKM tamat tempoh dan lapan kes tiada perlindungan insurans.
Selain itu, enam kenderaan dikesan beroperasi dengan sijil pemeriksaan PUSPAKOM yang telah tamat tempoh, sekali gus menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan kenderaan terbabit.
“Dari segi kelayakan pemandu pula, empat kes direkodkan melibatkan pemandu tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan satu kes membabitkan Lesen PSV yang telah tamat tempoh,” katanya.
JPJ Negeri Sembilan memberi amaran akan terus mempergiatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan aspek keselamatan dan peraturan jalan raya, khususnya yang melibatkan pengangkutan pelajar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








