BERITA SEMASA

Johor nafi Stadium Sultan Ibrahim bukan milik JDT

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bukan milik Johor Darul Ta’zim (JDT) seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kenyataan dimuat naik seorang individu di platform X itu adalah tidak berfakta, mengelirukan dan berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Beliau menegaskan, SSI adalah hak milik JDT yang berada di bawah naungan dan perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaku pemilik kelab berkenaan.

“Pembinaan stadium ini merupakan sebahagian daripada visi strategik Pemangku Sultan Johor dalam membangunkan ekosistem sukan bertaraf dunia di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Menurut beliau, Kelab Bola Sepak JDT berperanan sebagai entiti profesional yang mengurus dan membangunkan pasukan termasuk aspek teknikal, prestasi pemain, pembangunan bakat serta pengurusan kelab secara keseluruhan.

“Bagi memastikan tadbir urus stadium dilaksanakan secara berstruktur, profesional dan berstandard antarabangsa, Pemangku Sultan Johor telah memberi kepercayaan kepada Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ) untuk mengurus operasi harian stadium.

“Antara tanggungjawab PSNJ termasuk mengawal selia operasi harian, merancang serta melaksanakan penyelenggaraan berkala, mengurus aspek keselamatan, fasiliti dan logistik serta memastikan stadium berada pada tahap terbaik untuk perlawanan domestik dan antarabangsa,” jelasnya.

Stadium Sultan Ibrahim
Tangkap layar hantaran di platform X seorang individu yang mendakwa SSI bukan milik JDT.

Mohd Hairi berkata, model pengurusan tersebut memperlihatkan pemisahan peranan yang jelas dan profesional, dengan JDT memberi fokus sepenuhnya kepada prestasi pasukan serta kejayaan kelab, manakala PSNJ bertanggungjawab terhadap pengurusan dan penyelenggaraan stadium.

“Pendekatan ini selari dengan amalan terbaik kelab elit dunia dan menjadi antara faktor utama kejayaan berterusan JDT di peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak khususnya penulis dan pempengaruh media sosial agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat serta menyemak fakta sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh mencemarkan reputasi institusi sukan negeri dan kepimpinan Johor.

“Kerajaan Negeri Johor kekal komited untuk memastikan SSI terus diurus secara profesional, berintegriti dan menjadi kebanggaan rakyat Johor serta simbol kecemerlangan sukan negeri,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button