BERITA SEMASA

Jenazah Noor Rahiza dibawa ke rumah sebelum dikebumikan di Yan

YAN – Jenazah Allahyarham Noor Rahiza Anuar, 39, yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka dibawa pulang ke kediaman keluarganya terlebih dahulu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Ruat pada petang ini.

Abang sulungnya, Abdul Latif Anuar, 46, berkata, berdasarkan maklumat awal, jenazah adik ketiga daripada lima beradik itu dijangka tiba pada jam 4 petang.

Beliau berkata, jenazah Noor Rahiza akan dibawa ke rumah di Taman Perumahan Awam 2, Jalan Pantai Murni, di sini.

“Ia bagi membolehkan ahli keluarga terutamanya bapa kami, Anuar Hassan,70-an, membuat penghormatan terakhir.

“Jenazah akan dibawa ke Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Jalan Tambun, Ipoh (selepas selesai bedah siasat) untuk solat jenazah,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Beliau memaklumkan, jenazah adik perempuannya akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Ruat di sini, untuk dikebumikan selepas solat Asar.

Abdul Latif memberitahu, suami Noor Rahiza, Azinor Azizan, 40-an masih berada di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak menunggu urusan bedah siasat selesai

Proses bedah siasat ke atas 10 mangsa tragedi helikopter TLDM yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini selesai pada pukul 2.20 petang tadi.

Menurut TLDM, kesemua jenazah mangsa beragama Islam akan dibawa ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja di sini untuk solat jenazah sebelum dihantar ke waris masing-masing bagi urusan pengkebumian.

Jasad mendiang Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan TLDM pula dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan esok.

Sementara itu, jasad mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia anak Rohna akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk disemadikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button