JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Indonesia cedera ditembak setelah cuba serang penguat kuasa Maritim Malaysia

Berlaku ketika kumpulan besar pendatang cuba keluar dari Malaysia

SHAH ALAM – Tiga lelaki warga Indonesia yang dirawat di Hospital Serdang disyaki akibat ditembak semalam, disahkan sebahagian daripada kumpulan yang menyerang pegawai penguat kuasa Maritim Malaysia di kawasan perairan Tanjung Rhu, Banting, awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku ketika kumpulan besar itu sedang cuba untuk keluar dari negara ini.

Kesemua mereka disyaki cuba keluar melalui laluan tidak sah berkemungkinan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau terbabit dengan jenayah.

Tambahnya, polis menganggarkan sekitar 10 hingga 15 lagi individu masih lagi bebas.

“Pada masa ini pihak polis sedang mengesan semua suspek lain yang dipercayai menaiki bot sama dengan lima individu yang ditembak.

“Siasatan juga sedang dijalankan sama ada mereka ini bersenjata atau tidak,” katanya kepada BH Online, malam tadi.

Hussein berkata, empat suspek yang sedang mendapatkan rawatan akibat cedera ditembak kini berada dalam pengawasan ketat polis.

Tiga daripada mereka dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang manakala seorang lagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Laporan media semalam menyebut, tiga lelaki warga Indonesia dibawa individu tertentu dengan sebuah kereta Toyota Vios dan ditinggalkan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Susulan kejadian, pentadbiran hospital membuat laporan polis berhubung penerimaan pesakit mencurigakan ini.

Seorang lagi individu yang juga cedera akibat tembakan ditemui dalam bot bersama satu mayat lelaki yang terbunuh akibat ditembak di Pantai Banting, sekitar jam 9 pagi semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button