BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas ditahan ugut pakar patologi kes Zara Qairina

KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas mengugut pakar patologi yang terlibat dalam kes Zara Qairina Mahathir, iaitu Dr Jessie Hiu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek berusia 61 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 pagi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna susulan kenyataan di Facebook menggunakan akaun bernama ‘Amung Kamaruddin’.

Menurut Jauteh, terdapat unsur ugutan jenayah serta penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian dalam kenyataan dibuat suspek terhadap seorang pakar patologi di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu itu.

“Pihak polis telah membuat tangkapan terhadap lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes tersebut dan turut dirampas ialah sebuah telefon bimbit.

“Hasil semakan terhadap gajet tersebut mendapati suspek merupakan pemilik akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Inkues Zara Qairina: Peguam gesa hormati pakar patologi

Jauteh turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan keresahan masyarakat.

“Orang ramai digesa untuk sentiasa peka dan berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi atau memuat naik sebarang kandungan di media sosial selaras dengan prinsip undang-undang serta keharmonian masyarakat.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button