JENAYAH & MAHKAMAH

Akibat tegur remaja main motor, warga emas maut dilibas dengan cota besi

TANAH MERAH – Seorang warga emas maut setelah dipukul dengan cota besi di bahagian mukanya oleh seorang remaja di Kampung Buloh Ipoh, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Shamsuddin Mohamad, 60, mengalami kecederaan parah pada muka meninggal dunia di lokasi kejadian selepas rebah dipukul remaja terbabit, lapor Kosmo.

Menurut adik mangsa, Hasnah Ghazali, 40, suspek dipercayai menyimpan dendam terhadap abangnya kerana sering menegur suspek yang difahamkan banyak kali menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung.

Mengenai kejadian semalam, kata Hasnah, abangnya sedang berbual dengan seorang rakan di sebuah bangsal berhadapan dengan kedai runcit.

Bagaimanapun, selepas rakannya pulang, abangnya didatangi suspek yang berusia 18 tahun sebelum mengajaknya ke belakang kedai runcit.

“Remaja terbabit tiba-tiba memukul abang dengan sebatang cota besi yang dipercayai dibeli secara dalam talian. Kejadian itu disedari oleh seorang lelaki turut melalui kawasan berkenaan.

“Pukulan pada bahagian muka itu menyebabkan abang saya rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya, hari ini.

Menurutnya, jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kelupang Ipoh, di sini selewat-lewatnya petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah mengesahkan kejadian dan laporan lanjut akan menyusul.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button